Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus dinamik mengukuhkan rangkaian perkongsian kepakaran dan teknologi terkini yang dimiliki oleh universiti ini dengan pihak industri berprestij yang bukan hanya dalam negara malah melepasi garisan antarabangsa.
Terbaru, UTeM menerusi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (MCM) bagi menyerlahkan lagi pembangunan bersama dalam sektor berkepentingan kedua-dua pihak.
Majlis tersebut telah diadakan di Bangunan Canselori Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal dan menemukan kedua-dua belah pihak sekaligus meneruskan perbincangan lanjut perancangan terperinci kerjasama strategik ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad berkata, antara perincian kerjasama menerusi MoU tersebut termasuklah kerjasama dalam program latihan dan pembangunan modal insan dan pertukaran staf serta pelajar dalam bidang berkaitan akademik, penyelidikan dan projek teknikal.
Jelasnya, kedua-dua pihak turut bersetuju bagi guna sama peralatan serta kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi di UTeM dan MCM di samping perkongsian dan pertukaran data, maklumat, kepakaran dan produk.
Sehubungan itu, kerjasama ini turut menyentuh berhubung perkongsian ilmu dan pelbagai program lain yang memberikan manfaat melalui inisiatif projek dan pembangunan teknologi secara bersama.
Majlis tersebut dihadiri wakil dari MCM yang terdiri daripada Pengerusi MCM Ibrahim Hamzah, Pengarah Pemasaran Mohammad Nizam Badaruddin, Penasihat Teknikal Dr. Wan Abd Malik Wan Mohamed serta beberapa orang pegawai yang lain.
Manakala pihak UTeM pula telah diwakili oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad bersama Prof. Datuk Dr. Abu Abdullah serta barisan pegawai-pegawai kanan yang lain.