Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyemarakkan budaya pengaplikasian Revolusi Industri 4.0 dalam konteks akademik, penyelidikan dan inovasi malah dalam perspektif pembangunan Bandar Pintar.

Bagi merealisasikan agenda ini maka UTeM menganjurkan Melaka Smart City Challenge 2018 yang akan diadakan pada 17 Disember 2018 nanti bertempat di Akademi Samsung IoT, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh Melaka.

Program ini turut melibatkan Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Politeknik Melaka dan Politeknik Merlimau sebagai penganjur bersama.

Menurut Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM Prof Ts. Dr. Goh Ong Sing berkata, antara objektif pertandingan adalah untuk mempromosikan projek-projek inovatif dari kalangan pelajar untuk menangani masalah dunia sebenar terutamanya berkaitan permasalahan di Bandaraya Melaka.

Jelas beliau, menariknya dalam cabaran ini para peserta akan menggunakan pendekatan penyelesaian praktikal Internet of Things (IoT) dan mengasah bakat para peserta dalam pembangunan produk, penyelidikan dan pengkomersilan.

Katanya lagi, pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar bidang kejuruteraan, sains komputer, teknologi maklumat dan sains dari seluruh institusi pengajian tinggi di Melaka.

Terdahulu pada bulan September lalu telah pun bermula peringkat saringan dalam mendapatkan senarai pendek pasukan yang akan mara ke peringkat akhir bagi merangkul kedudukan terbaik pada 17 Disember nanti.

Setiap pasukan memilih salah satu daripada empat trek cabaran yang ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu samada Melaka Smart Economy Challenge, Melaka Smart Environment Challenge, Melaka Smart Mobility Challenge, Melaka Smart Living Challenge dan tambahan trek khas iaitu Melaka Smart Homestay.

Empat pasukan teratas yang menang akan menerima hadiah wang tunai daripada penaja dan produk teknologi daripada Samsung.

Sementara itu Goh Ong Sing turut mengulas, semasa pertandingan akhir pada 17 Disember nanti UTeM juga turut akan menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Meja Bulat Melaka Smart City.

“Ianya akan melibatkan wakil-wakil daripada kerajaan negeri, industri, universiti dan masyarakat setempat untuk hadir, berbincang dan mengambil langkah-langkah ke arah menjadikan Melaka sebagai tempat tinggal yang lebih baik dan lebih pintar”, ujar beliau.