Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) telah menganjurkan  4th International Conference on Science in Information Technology (ICSITech 2018).

Persidangan ini telah diadakan bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Melaka baru-baru ini.

Tema bagi persidangan antarabangsa ini adalah “Embracing Industry 4.0: Towards Innovation in Cyber Physical System”, menjadi platform kepada penyelidik dan akademia untuk berbincang dan membentangkan hasil kerja serta kajian terkini dalam bidang Sains dan Teknologi Maklumat.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, persidangan ini melonjakkan penyelidikan ilmuan UTeM seiring dengan perubahan dan kemajuan arus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Tambah beliau, persidangan antarabangsa ini mendapat penyertaan para penyelidik, akademia serta cendekiawan tersohor dalam dan luar negara bagi membincangkan kemajuan serta kepesatan teknologi seiring gelombang IR 4.0

Persidangan ICSITech 2018 telah berjaya mengumpulkan lebih 70 penyelidik dan pakar dalam bidang Sains dan Teknologi Maklumat.

Bidang utama merangkumi tema persidangan tahun ini seperti Artificial Intelligence, Big Data and Data Mining, Biomedical Informatics, The Internet of Things, Cloud & Grid Computing, Soft Computing, Green Computing dan lain-lain.

Semua kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan ini akan diterbitkan dalam jurnal-jurnal terpilih yang diindekskan di dalam SCOPUS.

Antara yang telah menyampaikan ucaptama dalam persidangan ini adalah Prof. Datuk IR. Dr. Mohd Jailani Bin Mohd Nor dari Albukhary International University Malaysia dan Prof Dr. Seok-Won Lee dari Ajou University Republik Korea Selatan.

UTeM terus memacu kecemerlangan menerusi bidang teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf global seiring dengan perubahan dan kemajuan arus IR 4.0.