Skip to main content

Atas inisiatif berterusan dalam menyumbang bakti di peringkat antarabangsa maka Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalankan Ibadah Korban bertempat di Kemboja bersama para penduduk di sana baru-baru ini.

Seramai lima orang wakil dari UTeM dan empat orang wakil dari Persatuan Alumni Universiti Texas telah menyertai Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja Tahun 2018 bagi menyumbang kelengkapan dan keperluan hidup kepada golongan yang memerlukan di sana.

Menurut pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, untuk Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja kali ke tujuh bagi tahun 2018 ini, sebanyak 24 ekor lembu, 18 ekor kambing dan 84 buah perigi telah diwakafkan berbanding tahun lepas yang hanya melibatkan sebanyak 19 ekor lembu, 11 ekor kambing dan 22 buah perigi sahaja.

Tambah beliau lagi, dalam misi tahunan anjuran UTeM ini, terdapat juga sumbangan dalam bentuk pakaian diberikan kepada penduduk di sembilan buah kampung yang terlibat di samping sumbangan berbentuk wang tunai daripada Tabung Amal Jariah UTeM dan MBSB Bank sebanyak RM8000.00 disalurkan kepada sekolah dan masjid untuk masyarakat Islam Kemboja.

Sembilan kampung yang terlibat dalam aktiviti ibadah korban dan aqiqah adalah Kampung Prek Pra dan Prek dam di Phnom Penh, Kampung Swayor, Kampung Sdaw dan Phum Thmey di Battambang dan juga di Bandar Baru Seam Reap manakala sumbangan waqaf pembinaan perigi pula diadakan di Kampung Chnang, Battambang dan Bandar Baru Siem Reap.

Di samping itu turut tidak ketinggalan dalam proses sumbangan adalah bantuan berkhatan kepada 22 orang kanak-kanak fakir dan miskin yang dikendalikan sendiri oleh Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr. Mohamad Fuzi Saidin bertempat di Masjid Darul Sunnah, Battambang.

Dengan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat ini jelas menzahirkan bahawa UTeM selaku universiti awam teknikal berprestij di negara ini bukan hanya cemerlang dan unggul dalam reputasi akademik, penyelidikan serta inovasinya malah turut memberi impak kebersamaan sejagat di pentas dunia.