Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut menjadi menjadi pilihan sebagai tempat menjalani Latihan Industri bagi sebahagian daripada mahasiswa universiti dari luar negara.
Terkini, terdapat beberapa orang pelajar dari Faculty of Public Health, Universitas Ahmad Dahlan Indonesia sedang menjalani Latihan Industri mereka di sini bagi tempoh sebulan serta mendalami selok belok keselamatan dan kesihatan yang diamalkan di UTeM.
Rentetan itu delegasi Faculty of Public Health, Universitas Ahmad Dahlan, Indonesia telah membuat lawatan ke Pejabat Naib Canselor UTeM baru-baru ini sekaligus mengeratkan lagi silaturahim dua hala.
Delegasi daripada pihak sana diketuai oleh Oktomi Wijaya bersama beberapa orang pegawai pengiringnya dan mereka turut melawat Pejabat Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHA) UTeM bertujuan untuk bertemu dengan pelajar mereka yang menjalankan Latihan Industri di sini.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, kunjung hormat yang diterima telah membuka peluang usahasama yang berterusan oleh UTeM dan Universitas Ahmad Dahlan.
Tambah beliau lagi, jika usahasama yang yang dirancang dipersetujui, UTeM dan Universitas Ahmad Dahlan akan meneruskan perkongsian kepakaran dalam bidang akademik di samping meneruskan program pertukaran pelajar antara kedua-dua universiti yang kini berlangsung menerusi pejabat berkaitan di UTeM.
Pada awal bulan lalu, Pejabat OSHA UTeM telah menerima tiga orang pelajar dari Faculty of Public Health, Universitas Ahmad Dahlan untuk menjalankan Latihan Industri mereka di sini bagi tempoh sebulan untuk mempelajari selok belok keselamatan dan kesihatan yang diamalkan di UTeM, seiring dengan pembelajaran yang diterima sewaktu pengajian mereka menerusi fakulti mereka.