Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat UTeM sempena bulan kemerdekaan Malaysia ke-61 baru-baru ini.

Majlis pelancaran ini telah diadakan bertempat di Dataran Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal yang mana telah dihadiri oleh kesemua pengurusan tertinggi UTeM bersama dengan kakitangan dan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, Kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan merupakan acara tahunan UTeM yang diwujudkan bagi memupuk semangat cintakan Malaysia dalam kalangan warga universiti. dan juga sebagai bukti kegembiraan serta kesyukuran mengekalkan kemerdekaan negara selama 61 tahun.

Tambah beliau lagi, kempen kibar jalur gemilang dan pelancaran bulan kemerdekaan ini juga merupakan salah satu apresiasi UTeM terhadap pejuang kemerdekaan lalu di samping menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan tema kemerdekaan ke-61 yang membawa slogan Sayangi Malaysiaku.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor UTeM bersama pengurusan tertinggi UTeM turut menampal Jalur Gemilang di kenderaan rasmi universiti termasuklah di kereta-kereta pegawai pengurusan tertinggi, kenderaan rasmi pejabat keselamatan dan ambulans kegunaan Pusat Kesihatan UTeM.

Kempen Kibar Jalur Gemilang ini merupakan program pertama dari beberapa siri aktiviti patriotik dan kenegaraan yang diadakan di UTeM di samping beberapa program lain seperti penyertaan perarakan sambutan kemerdekaan yang bakal berlangsung pada 31 Ogos 2018 dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September kelak.