Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan 3rd Engineering Technology International Conference (ETIC) 2018 yang dijadualkan akan berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2018 bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC) Melaka.

ETIC 2018 merupakan medan bagi para penyelidik dari dalam dan luar negara berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penyelidikan dan penerbitan yang berteraskan teknologi kejuruteraan dunia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa ETIC 2018 merangkap Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UTeM Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, ETIC 2018 telah mendapat sambutan yang baik daripada kalangan para peserta dari universiti-universiti dalam dan luar negara.

Katanya, pihak urusetia telah menerima lebih daripada seratus kertas persidangan yang mana akan dibentangkan pada persidangan ini mengupas tema Advanced Engineering Technology Research : Driver of the Future Industry 4.0.

“Dari segi ucaptama pula akan disampaikan oleh Profesor Hiroyuki Sasahara dari Tokyo University of Agriculture and Tecchnology bersama dengan Profesor Ir Dr Mohd Nasir dari Universiti Teknologi MARA”, ujar beliau.

Secara keseluruhannya dalam persidangan ini akan mengupas daripada pelbagai disiplin kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi serta keusahawanan di samping teknologi kejuruteraan.

Mengulas lanjut beliau berkata, persidangan sebegini adalah ruang yang menjadi penggerak kepada penemuan-penemuan baru dalam kemodenan kejuruteraan terbaru dunia dan mampu memberi pelbagai kemudahan dan kebaikan kepada orang ramai.

Sepintas lalu, ETIC ini merupakan agenda bersama antara Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bagi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bagi menjalankan aktiviti akademik yang berteraskan penerbitan dan penyelidikan.