Skip to main content


Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka  Muhamad Hafiz Jailani telah terpilih bagi mengikuti program 2nd ASEAN China Youth Summer Camp yang telah berlangsung di Beijing dan Chengdu China baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama 7 hari ini telah disertai delegasi seramai 30 orang pelajar terpilih yang mewakili universiti-universiti dari negara Asia Tenggara termasuklah China, Jepun dan Korea.

Terdahulu bagi mengikuti program ini beliau terpaksa melalui proses temuduga oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mana 31 orang calon yang lain dari universiti-universiti awam seluruh negara turut hadirinya dalam pencarian hanya 2 orang wakil Malaysia.

Menurut Muhamad Hafiz Jailani berkata, program selama 7 hari itu merupakan pengalaman indah buat beliau dan seorang lagi wakil Malaysia iaitu Muhammad Ali Jusri dari Universiti Kelantan Malaysia (UMK).

Katanya, ianya adalah kerana pelbagai pengisian menarik telah diisi dengan  pendedahan yang pelbagai dari sudut budaya, bahasa dan geografi di sana.

“Secara peribadi, program ini telah mengajar saya tentang keunikan budaya masyarakat di Tanah Besar China di samping mereka turut turut diajar untuk melukis mengikut tradisi masyarakat negara China dengan menggunakan alatan yang disediakan”, ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, mereka telah dibawa melawat ke beberapa destinasi menarik dan tumpuan dunia di sana seperti Sarang Burung China, Tembok Besar China, Water Cube, Beijing Bai Gong Fang Handcraft and Art Museum, Summer Palace, Chengdu Base of Giant Panda Breeding, Kuanzai Ancient Street of Qing Dynasty serta  Sichuan Opera Performance.

Dalam lawatan berkenaan delegasi mereka turut berkesempatan menziarahi Datuk Bandar Chengdu, Luo Qiang dan makan malam bersamanya di samping mendapat layanan istimewa sebagai tetamu dari luar negara.

Sememangnya peluang yang telah dilalui ini telah menjadi pengalaman dan manfaat besar kepada beliau yang masih lagi dalam suasana pengajian di UTeM ini.