Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya berjaya mempertahankan kedudukan juara bagi tiga tahun berturut-turut menerusi Innovate Design Competition 2018 yang berlangsung di Malaysian Global Innovation & Cretivity Center (MaGIC), Cyberjaya baru-baru ini.
Pentas akhir telah berjaya membawa sebanyak 58 kumpulan daripada 19 universiti setelah kesemua berhempas pulas selama sembilan bulan dalam pembangunan projek untuk mara ke peringkat akhir ini.
Menurut Pengarah Pusat Hubungan Industri, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UTeM, Prof. Madya Dr. Kok Swee Leong berkata, pertandingan akhir tersebut telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pertama membawa tema Technology Track yang terbahagi kepada lapan subkategori manakala kategori kedua membawa tema Design Challenge dengan enam subkategori.
Katanya, bagi kategori pertama, 5 pasukan dari UTeM telah terpilih ke peringkat akhir dan pasukan dari subkategori Track Silterra Cedec yang terdiri daripada Ho Joo Jie bersama penyelia beliau Dr. Wong Yan Chiew telah meraih kemenangan utama setelah menumpaskan lima kumpulan yang turut tercalon ke peringkat akhir manakala dua pasukan UTeM dari subkategori Track Solidworks yang terdiri daripada Khor Li Zhe dan Tan Pheng Chiang bersama penyelia mereka, Dr. Mohd Shahrieel Mohd Aras berjaya mendapat tempat kedua dan Christine Tiong, Keek Joe Siang, Lee Wei Wen bersama penyelia mereka, Dr. Loh Ser Lee & PM Dr. Chong Shin Horng pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
“Kategori kedua yang membawa tema Design Challenge telah disertai oleh tiga pasukan UTeM yang mana pasukan di bawah sub kategori Daikin yang dianggotai oleh Loon Kuan Yuan, Lee Qui Fang, Woo Xiu Juan bersama penyelia mereka, Dr. Md Hairul Nizam Talib berjaya meraih kemenangan utama dan pasukan di bawah sub kategori Wildlife Conversatoin and Science (WCS), Lee Zhao Lun bersama penyelia beliau, Prof. Dr. Zulkalnain Mohd Yussof dan Dr. Wong Yan Chiew turut beroleh kemenangan utama setelah menumpaskan tiga kumpulan yang turut beraksi di pentas akhir”, ujar beliau mengulas mengenai kemenangan pelajar UTeM.
Pertandingan Innovate Design Competition 2018 merupakan pertandingan rekabentuk kejuruteraan dari pelbagai disiplin untuk mahasiswa universiti seluruh Malaysia berobjektif mempromosikan budaya inovatif dalam rekabentuk kejuruteraan dan menangani masalah dunia sebenar dengan penyelesaian kejuruteraan praktikal di samping melahirkan bakat cemerlang untuk pembangunan produk.
Dalam pertandingan tersebut, para peserta diberikan bantuan permulaan dari industri untuk membangunkan projek mereka dengan bimbingan dan mentor dari DreamCatcher dan ketua-ketua organisasi bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan dalam dunia sebenar yang diberikan oleh pelbagai organisasi.
Program anjuran syarikat latihan bertaraf lima bintang yang diiktiraf oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), DreamCatcher dengan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) dan Institution of Engineers Malaysia telah disertai kira-kira lebih dari 500 pasukan daripada 30 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia.