Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semalam telah menerima seramai 492 orang pelajar yang melapor diri bagi sesi kemasukkan pelajar diploma sesi 2018/2019 yang berlangsung bertempat di Pusat Pengajian Siswazah, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Cuaca hujan sepanjang waktu pendaftaran semalam tidak memutuskan semangat pelajar dan ibu bapa yang hadir bagi melapor diri seterusnya meneruskan pengajian di sini.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar UTeM, Mohd Nizam Pavel sewaktu ditemubual semalam menyatakan bahawa sebanyak 417 pendaftaran telah diterima secara awalan menerusi pendaftaran secara di atas talian (online) manakala bakinya hadir dan menjalankan pendaftaran secara biasa pada hari pendaftaran.

Tambah beliau lagi, para pelajar yang telah mendaftar secara atas talian hanya perlu hadir untuk menghantar dokumen yang diminta di samping mengambil kad pelajar unidebit dan kunci kediaman masing-masing manakala para pelajar yang masih belum mendaftar secara atas talian akan melalui proses pendaftaran seperti tahun sebelumnya.

“Kesemua pelajar yang mendaftar masuk turut terus ke Kolej Kediaman Satria UTeM yang mana ia diuruskan secara terus oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar untuk pendaftaran penempatan dan terus masuk ke bilik masing-masing dan mempersiapkan diri bagi taklimat kediaman yang diadakan pada jam 9:00 malam”, ujar beliau mengakhiri temubual.

Bilangan pelajar yang mendaftar menerusi fakulti adalah sebanyak 99 orang untuk Fakulti Kejuruteraan Elektrik, 79 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan kejuruteraan Komputer, 86 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, 70 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan 158 orang bagi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Mereka yang mendaftar  menjalani pengajian selama 7 minggu termasuklah peperiksaan sebelum bercuti selama dua minggu dan kemudiannya memulakan sesi orientasi serentak bersama pelajar ijazah sarjana muda yang dijangka akan mendaftar pada hujung Ogos kelak.