Barisan Penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan produk inovasi Alat Bantuan Betis Ortopedik Cetakan 3D bertaraf dunia.
Menurut Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr Muhammad Zahir Hassan, berkata idea untuk hasilkan Alat Bantuan Betis Ortopedik Cetakan 3D adalah untuk membantu meringankan permasalahan yang dihadapi pesakit retak di bahagian betis kaki yang mana kebiasaannya mereka dipakaikan simen.
Katanya, simen yang digunakan berat dan boleh menjejaskan pergerakan pesakit di samping kurangnya pengudaraan pula memberi implikasi negatif kepada kulit pengguna justeru produk inovasi ini mampu memudahkan pergerakan pesakit dan memberi keselesaan kepada pesakit berbanding dengan penggunaan simen yang dipraktikkan sebelumnya.
Tambah beliau lagi, idea inovasi ini tercetus kerana melihat penggunaan simen kaki ini sejak dari dahulu lagi dan tiada penambahbaikan. Hal ini mungkin kerana tiada individu atau pihak mahu menyumbang idea dan usaha untuk menginovasikan fungsi produk simen ini walaupun sudah jelas produk simen ini mempunyai banyak masalah.
Sementara itu Pereka Bentuk Alat Bantuan Betis Ortopedik Cetakan 3D, Mohammad Rafi Omar pula berkata, rekaan produk ini adalah mengikut tren tekini yang berkonsepkan masa depan malah sangat ringan yang mana berat produk ini dalam anggaran 200 gram dan berketebalan 3 milimeter (mm).
Mengulas lanjut beliau berkata, ujian simulasi menggunakan perisian komputer telah dijalankan bagi memastikan produk yang akan dihasilkan ini selamat dan mampu menahan berat pesakit yang akan menggunakannya.
Alat bantuan Betis Ortopedik Cetakan 3D yang baharu ini juga mampu menahan berat pengguna sehingga 100 kilogram (kg) manakala rekaan lubang berbentuk geometri pada produk ini bertujuan untuk memberikan pengudaraan pada kulit pengguna dan mengurangkan berat pada produk ini.
Projek ini juga adalah hasil kerjasama dan gerak kerja bersama tiga orang lagi pensyarah UTeM iaitu Mohamed Saiful Firdaus Hussin, Mohd Hafizi Abdul Rahman dan Khairul Azri Azlan sambil dibantu oleh 2 orang pelajar dari FTK Nurfarhana Tumijan dan Intan Farah Najihah Razali.
Nurfarhana Tumijan berkata, dalam membangunkan produk ini mereka diselia oleh pensyarah-pensyarah hebat dan berpengalaman dari segi pengetahuan, pengaturcaraan komputer dan rekabentuk.
Jelasnya, secara tidak langsung senario ini turut merangsang kemahiran berfikir secara kreatif dan inovatif sebagai seorang teknologis dari peringkat permulaan idea inovasi ini diutarakan sekaligus menjadikannya sebagai cabaran dalam merealisasikan projek berimpak ini.
“Pembelajaran secara hands-on juga terlibat dalam projek reka cipta sebegini dan sekaligus memberi peluang dan pengetahuan kepada mereka untuk mngendalikan peralatan dan mesin canggih yang berada di UTeM”, ujar beliau lagi.
Alat Bantuan Betis Ortopedik Cetakan 3D juga telah mememangi pingat emas dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sebelum ini.
Dengan barisan pensyarah muda yang giat aktif menghasilkan pelbagai produk inovasi maka ianya telah berjaya melonjakkan jenama UTeM untuk terus menyerlah bagi menzahirkan penyelidikan yang berkonsepkan tranlasi bermanfaat langsung kepada komuniti dan masyarakat sejagat.