
Sebagaimana rutin tahunan setiap kali menjelang bulan Ramadan yang mulia maka Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyusun pelbagai program Ihya’ Ramadan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Menurut Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, antara aktiviti utama yang telah dirancang bagi mengimarahkan bulan yang mulia ini adalah majlis tazkirah, tadarus dan khatam al-Quran, iftar serta solat sunat terawih melibatkan semua warga kerja dan pelajar UTeM bertempat di masjid Sayyidina Abu Bakar di sini.
“Program yang disusun ini akan melibatkan kesemua warga UTeM termasuklah mahasiswa dan kakitangan dalam mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam satu institusi yang mana fokus kepada pengisian ilmiah dan rohani akan menjadi tunggak utama pada tahun ini,” ujar beliau.
Katanya, seperti tahun-tahun terdahulu, program tradisi seperti aktiviti memasak dan mengedar bubur lambuk oleh warga UTeM dan majlis iftar akan terus berlangsung dan tidak ketinggalan juga seperti pada tahun-tahun sebelumnya, UTeM akan menganjurkan Majlis Iftar Bersama Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob yang merupakan Canselor UTeM.
Mengulas lanjut beliau berkata, sempena menyambut kehadiran Nuzul Al-Quran pada 2 Jun kelak, satu majlis Tadarus Mega turut bakal dijalankan melibatkan warga UTeM bagi menyerikan lagi bulan yang penuh keberkatan ini.
Tidak ketinggalan, seperti tahun sebelumnya, tazkirah pada waktu Zohor akan diteruskan penampilan tokoh daripada pengurusan kanan UTeM termasuklah Naib Canselor Prof Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib yang dijadualkan akan menyampaikan tazkirah tersebut.
Pihak universiti juga turut tidak ketinggalan dalam menyediakan kaunter pembayaran zakat fitrah di Masjid Sayyidina Abu Bakar di samping menjalankan kaunter bergerak ke setiap Pusat Tanggungjawab dan fakulti bagi memudahkan warga UTeM untuk menunaikan rukun islam keempat.