Skip to main content

Salah seorang tenaga pengajar pakar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Madya Dr. Muhammad Zahir Hassan telah merangkul Anugerah Buku Negara bagi kategori Buku Umum Terbaik (Automotif) yang berlangsung di Hotel Seri Pacific dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah berlangsung di dua lokasi yang berbeza dengan dua sesi iaitu sesi pagi yang diadakan bertempat di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific dan petang menyaksikan majlis diadakan bertempat di Pentas Utama, Pelantar Putra, Pusat Perdagangan Dunia Putra.

Menurut Dr. Zahir sewaktu ditemui selepas majlis penganugerahan menyatakan kesyukuran diatas kemenangan yang diterima beliau di samping berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu beliau melengkapkan dan menyiapkan buku tersebut.

Tambah beliau lagi, penganugerahan yang diterima diharap dapat menyumbang ke atas kemajuan UTeM di samping meletakkan nama UTeM di persada dunia sebaris universiti-universiti terunggul di dunia.

Hasil naskah beliau, Fugitive Modelling of Braking Noise merupakan buku hasil terbitan Penerbit UTeM dan Panel Penilai Profesional Anugerah Buku Negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Prof.Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar bersetuju untuk memberi anugerah kepada Dr. Zahir lantas ianya menjadi lonjakan dan dorongan kepada beliau untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi untuk dijadikan bahan rujukan dan legasi warisan generasi akan datang.

Dr. Zahir telah menerima sijil dan trofi pada majlis tersebut yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hasan Hamzah diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Group Berhad Dato’ Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.