Skip to main content

Dengan inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan golongan yang memerlukan maka Kumpulan Penyelidik Beca Elektrik (e beca) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melebar sayap impak penyelidikan di Terengganu menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (MOTAC).

Antara inisiatif yang dijayakan ini adalah dengan melaksanakan penyerahan sebuah beca elektrik yang telah digubah suai dengan teknologi terkini daripada sebuah beca tradisional melalui transformasi dan inovasi sentuhan penyelidik UTeM. 

Menurut ketua kumpulan penyelidik e beca UTeM Prof. Madya Ir. Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, e-beca ini mampu membuka lebih banyak pilihan pengangkutan bagi pelancongan, selain memudahkan operasi mengayuh beca dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pengusaha-pengusaha beca dalam negara.

Tambah beliau, e-beca menjanjikan nilai tambah teknologi baru kepada beca konvensional sedia ada dengan mengetengahkan inovasi pencipta muda dari UTeM dengan pengaplikasian sistem yang lebih efektif dengan kuasa solar dan elektrik.

Mengulas lanjut beliau berkata, kelebihan e-beca ini terletak pada sistem solar yang berupaya menukarkan tenaga kuasa solar kepada kuasa motor elektrik dan teknologi ini berjaya memudahkan para pengayuh beca dan sekaligus meningkatkan produktiviti mereka dan menambahkan pendapatan harian serta merubah taraf hidup menjadi lebih baik lagi berbanding dengan sebelum ini.

Pada majlis penyerahan e beca di Terengganu ini telah diserahkan kepada salah seorang penarik beca di Kuala Terengganu iaitu Abdullah Muhamad 63 tahun yang dikenali sebagai Pok Loh yang telah lama berkecimpung sebagai penarik beca di sekitar Kuala Terengganu ini.

Majlis penyerahan e beca ini telah disampaikan oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Penyelidikan UTeM (COE) Profesor Dato’ Dr Abu Abdullah yang mana turut dihadiri oleh Ketua Unit Pengkomersilan e beca Profesor Madya Dr Haslinda Musa di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sementara itu Dr Haslinda Musa turut mengulas,  pengkomersilan e-beca termasuk penawaran pesanan melalui sistem aplikasi langganan e-beca yang akan di lancarkan tidak lama lagi.

Tambah beliau, pengkomersilan e-beca juga memulakan program crowdfunding untuk mendapatkan sejumlah besar derma atau dana daripada komuniti setempat yg dibuat secara online menggunakan platform berdaftar.

“Kutipan derma atau dana itu akan digunakan oleh penyelidik UTeM untuk membantu lebih ramai golongan penarik beca yg daif di seluruh negara yang mengalami masalah kesihatan dan kewangan yang memaksa mereka untuk terus mengayuh beca mereka secara tradisional justeru dengan bantuan ini maka UTeM mampu untuk hasilkan lebih banyak lagi bilangan e beca kepada mereka”, ujar beliau lagi.

Orang perseorangan atau organisai yang berminat untuk sama-sama membantu golongan pengayuh beca yang daif di seluruh negara bagi memiliki e beca ini maka bolehlah menyumbang menerusi Tabung e beca Bank Islam Malaysia Berhad 0404-2010-0008-33 dan sumbangan ini juga boleh digunakan untuk pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).