Skip to main content

Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan menganjurkan program Pengaturcaraan Logik Permainan dan Animasi Menggunakan Perisian SCRATCH di beberapa buah sekolah di negeri Melaka baru-baru ini.

Menurut Timbalan Dekan Akademik FTK UTeM Dr Umar Al Amani Azlan berkata, program ini telah dilaksanakan di beberapa buah makmal komputer sekolah dan setakat ini antara sekolah yang terlibat antaranya adalah Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Malim dan Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Melaka.

Tambah beliau lagi, program ini merupakan pengenalan dan pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai aplikasi pengaturcaraan menggunakan perisian SCRATCH.

“Bukan itu sahaja, melalui program ini ianya dapat memupuk minat pelajar ke arah perincian pengaturcaraan menggunakan perisian SCRATCH yang lebih mudah difahami”, ujar beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, perisian SCRATCH ini lebih mudah difahami oleh pelajar kerana ianya menggunakan konsep gambarajah blok yang lebih mudah dan senang diaplikasikan oleh pelajar lalu di akhir program ini pelajar membentangkan aplikasi ataupun permainan yang dicipta menggunakan perisian ini.

Seramai 30 orang pelajar Sekolah Mengengah Kebangsaan Malim dan 30 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal terlibat dalam penganjuran program ini sekaligus memberi impak positif secara keseluruhannya.

Beberapa orang staf dan pelajar FTK UTeM komited dalam melaksana dan menjayakan program ini bagi berkongsi ilmu dan kepakaran serta pengalaman kepada pelajar terlibat dalam aplikasi pengaturcaraan ini.

Program ini adalah hasil daripada geran komuniti di bawah dana UCTC yang diperolehi pada September 2017 yang mana UTeM menyahut seruan KPT dalam melebarkan peranan institusi pendidikan tinggi bersama komuniti negeri.