Berteraskan kepada konsep mahasiswa sihat dan cergas maka Sekretariat Permuafakatan Siswa Siswi Felda (PERSADA) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan Program Pendakian Hijau Bukit Broga, Semenyih Selangor baru-baru ini.
Pengarah Program Nur Raihana Abdul Hakim berkata, antara lain program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan serta pembelajaran luar kelas yang tidak hanya terbatas di universiti malah kepada komuniti dan persekitaran luar. Tambah beliau, program ini juga dapat memupuk rasa cinta terhadap flora dan fauna dalam kalangan para peserta serta menikmati keindahan alam semulajadi sambil mengeratkan lagi hubungan sesama siswa UTeM.
“Program pendakian sebegini sememangnya adalah agenda positif yang berjaya mengisi ruang waktu kami dengan pengisian aktiviti yang berfaedah dan mencabar fizikal serta minda”, ujar beliau lagi.
Seramai 39 orang peserta program ini memulakan aktiviti dengan taklimat ringkas dari Pengarah Program lalu digerakkan dengan sesi pembahagian peserta kepada beberapa kumpulan. Menurut Nur Raihana lagi, pengalaman pendakian santai mereka memang menyeronokkan kerana pendakian bermula seawal jam jam 5.20 pagi dan akhirnya mereka berjaya sampai ke puncak Bukit Broga sekitar jam 7.00 pagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, para peserta kelihatan gembira kerana dapat menikmati keindahan alam semulajadi di atas puncak Bukit Broga dan berharap dapat mengikuti siri pendakian ke destinasi selanjutnya selepas ini. Sementara itu Penolong Pegawai Tadbir Unit Kesejahteraan Komuniti dan Sukarelawan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM Hamzah Sirun berkata, pihak HEP sentiasa menyokong dan mendorong siswa agar sentiasa aktif dan cergas dalam menjalankan aktiviti bermanfaat.
Tambah beliau, perkara ini turut mencetuskan golongan siswa yang berjaya menyeimbangkan antara keperluan akademik serta pengisian aktiviti yang mendorong ke arah kesejahteraan fizikal dan mental.