Skip to main content
10 November 2026

iIRID 2026 Anjuran UTeM Perkukuh Sinergi Universiti-Industri, Pacu Revolusi Pembuatan Pintar

Menyedari peranan universiti perlu dipergiatkan dalam konteks bukan hanya sebagai pengeluar graduan dan peneraju penyelidikan, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik industri secara berintegrasi tinggi dalam mencorakkan masa depan ekonomi berteraskan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan pintar.

Maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program International Innovative Research and Industrial Dialogue (iIRID) 2026 kali keenam yang diadakan selama 2 hari, baru-baru ini dengan menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, penyelidik dan pelajar bagi merapatkan jurang antara penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar sektor industri.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Dr. Zahriladha Zakaria, berkata transformasi industri menuntut universiti mempercepat penghasilan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu diterjemahkan kepada inovasi, penyelesaian teknologi dan nilai komersial.

"Cabaran utama bukan sekadar menghasilkan penyelidikan berkualiti, tetapi memastikan hasil penyelidikan itu dapat dimanfaatkan industri. Kerjasama strategik universiti-industri perlu diperkasakan bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta mempercepat penerapan AI dan teknologi pintar dalam sektor pembuatan," katanya.

Pengarah Program iIRID 2026, Prof. Ts. Dr. Effendi Mohamad, berkata platform itu dirangka bagi memastikan dialog antara akademia dan industri menghasilkan perkongsian strategik yang lebih bermakna, bukan sekadar perbincangan di peringkat konsep.

"Kita mahu melihat lebih banyak hasil penyelidikan universiti dibawa keluar dari makmal untuk diuji, diguna pakai dan dikomersialkan dan pada masa sama, input industri perlu menjadi asas kepada pembangunan kurikulum, penyelidikan dan latihan supaya graduan benar-benar bersedia menghadapi perubahan teknologi serta tuntutan pekerjaan masa depan," katanya.

Berlangsung di Kampus Induk UTeM, program itu dianjurkan bersama Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM–Melaka serta Centre of Smart Systems and Innovative Design (CoSSID).

>Program ini telah disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Rusnah Aluai, manakala Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Florian Herrmann, menyampaikan ucaptama mengenai transformasi pendidikan tinggi menerusi kolaborasi universiti-industri berteraskan AI bagi kecemerlangan pembuatan pintar.

Tiga forum industri menjadi teras perbincangan pada hari pertama, merangkumi pembangunan bakat yang memenuhi keperluan kilang pintar, pengkomersialan hasil penyelidikan ke pasaran global serta pembentukan ekosistem pembuatan pintar yang inklusif.

Antara tokoh industri yang terlibat ialah wakil Konica Minolta, CTRM Aero Composites, Invest Melaka, MIDA, NAICO Malaysia, Fluidra Malaysia, Dominant Opto Technologies, SAM Engineering, LED Vision dan Al-Meswak Mu’min.

Pada hari kedua, sebanyak 106 pembentangan penyelidikan secara dalam talian melibatkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Jepun dan beberapa negara lain.

Penyelidikan yang dibentangkan meliputi bahan termaju, AI, automasi, teknologi pembuatan, reka bentuk lestari, ergonomik, sistem kualiti dan pengurusan industri, sekali gus memperluas perkongsian ilmu serta membuka peluang jaringan penyelidikan antarabangsa.

Hasil penganjuran turut diperkukuh menerusi penerbitan dua e-Prosiding oleh UTeM Press, iaitu AI-Driven Smart Manufacturing: Advances in Materials Science, Automation, and Production Technologies dan Fostering Industry–Academia Innovation: Sustainable Design, Technopreneurship and Quality Systems, yang menghimpunkan sumbangan penyelidikan dalam bidang teknologi, inovasi dan pembangunan industri.