Kompleks Dewan Kuliah baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah siap dibina dan dirasmikan baru-baru ini memberi manfaat buat hampir 14,000 pelajar UTeM.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, terbinanya kompleks dewan kuliah ini seiring peningkatan enrolmen pelajar UTeM pada setiap sesi kemasukan.
Jelasnya, perancangan pembangunan dan fasiliti UTeM yang strategik dan holistik ini bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan melengkapi sekali gus menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang serba kondusif.
Ujarnya, projek ini telah mendapat kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-sebelas dengan kelulusan kos siling berjumlah RM 15 juta dan telah siap dibina oleh syarikat pembina iaitu Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Sebarang Perak Berhad.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, Kompleks Dewan Kuliah ini berkeluasan 4,452.0 meter persegi.
Katanya, ianya dilengkapi dengan 2 unit Dewan Kuliah jenis bertingkat dan 2 unit Dewan Kuliah jenis rata yang mana setiap satunya berkapasiti 300 orang di samping 4 unit Dewan Kuliah jenis rata berkapasiti 150 orang dan 2 unit bilik bacaan serta insfrastruktur sokongan.
“Turut dilengkapi dengan ruang pejabat pentadbiran yang menempatkan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) yang mampu diisi seramai 19 orang staf yang telah pun memulakan operasi pentadbirannya di Kompleks Dewan Kuliah ini pada hujung Januari lepas,” katanya lagi.
Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kompleks Dewan Kuliah baharu UTeM ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar di kampus induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, baru-baru ini.