Skip to main content
MELAKA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menggerakan misi bantuan pasca banjir dan gotong-royong, baru-baru ini.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, berteraskan sikap cakna dan prihatin terhadap golongan yang terlibat lalu kami telah menggerakkan misi bantuan ini.
 
Jelasnya, misi yang disetai oleh 26 orang kakitangan Pejabat HEP dan dibantu 8 orang pelajar Kelab Pembimbing Rakan Siswa (PRS) telah melakukan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Sungai Rambai dan gotong-royong pembersihan tanah perkuburan di Pengkalan Batu, Melaka.
 
Ujarnya, sumbangan keperluan asas berupa bakul makanan juga turut disampaikan kepada beberapa buah keluarga terpilih yang terkesan akibat bencana banjir.
Katanya, selain rasa tanggungjawab usaha membersihkan kawasan perkuburan pula adalah untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana yang lebih baik.
 
"Inisiatif ini turut memupuk semangat bantu-membantu sesama komuniti warga UTeM, sekaligus merealisasikan tanggungjawab sosial warga UTeM kepada masyarakat setempat," katanya lagi.
 
Beliau juga turut menzahirkan penghargaan terima kasih dan beliau amat berbangga dengan semangat yang tinggi serta komitmen sukarelawan yang sanggup berkorban masa dan tenaga membantu mangsa banjir yang selari dengan ciri TUAH UTeM iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik.
 
Program ini turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu juga Exco Hal Ehwal Wanita & Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Kalsom Nordin bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka.