Skip to main content
08 February 2022

UTeM Tuan Rumah Penganjuran Majlis Anugerah Sukan MASUM 2019

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) (ASM 2019) yang akan diadakan pada 10 Februari 2022 nanti.
 
Majlis ASM ini dijadualkan berlangsung pada sebelah malam di salah sebuah hotel ternama di Bandaraya Melaka.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, objektif penganjuran majlis ini antaranya adalah sebagai tanda sokongan pihak UTeM dalam menghargai pencapaian cemerlang sukan para atlet serta pegawai universiti awam yang telah mengharumkan nama universiti, MASUM dan negara.
 
Jelasnya, ianya juga bagi merealisasikan hasrat warga sukan Universiti Awam bagi menjalankan majlis berprestij yang telah tertangguh selama 2 tahun sebelum ini dan UTeM selaku tuan rumah pada kali ini.
 
Sementara itu, Pengarah Program yang merupakan Pegawai Belia dan Sukan Kanan UTeM, Mohd Fairuz Azwad Mohd Zauwawi berkata, sebanyak 13 anugerah akan diumumkan para pemenangnya yang mana antara anugerah tersebut adalah seperti anugerah olahragawan, olahragawati, tokoh sukan, bintang harapan lelaki dan bintang harapan wanita.
 
Katanya lagi, ASM 2019 ini melibatkan 300 orang jemputan antaranya terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti-universiti awam Malaysia.
 
ASM merupakan anjuran MASUM dan KPT yang telah berjaya mengenengahkan bakat-bakat sukan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam dalam negara.
 
ASM 2019 ini bakal dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan turut dijadualkan akan dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UTeM, Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc dan Timbalan
Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar.
 
Turut akan dihadiri oleh Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainudin. dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif