Skip to main content

Durian Tunggal, Melaka: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama ERASMUS United melakar sejarah baharu apabila berjaya menubuhkan UTeM Future Fuel Design Training Centre baru-baru ini.

Penubuhan UTeM Future Fuel Design Training Centre adalah sebahagian daripada kejayaan menerusi Projek Geran Penyelidikan Antarabangsa ERASMUS United yang sedang dijalankan dengan jayanya iaitu mewujudkan Engineering Knowledge Transfer Unit (EKTU) dilengkapi dengan peralatan latihan sistem pengurusan bahan bakar terkini yang memfokuskan teknologi suntikan diesel.

Naib Canselor, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM Future Fuel Design Training Centre ini menawarkan banyak program latihan yang menarik kepada peserta dari kalangan pihak industri dan akademik yang berkaitan.

Jelas beliau, industri automotif di Malaysia memainkan peranan penting dan menjadi salah satu penyumbang terbanyak daripada gross domestic product (GDP) dan dilihat mampu memberikan pulangan berimpak yang lebih besar pada tahun semasa dan jangka panjang.

Ujarnya, UTeM bertuah kerana telah diberi kepercayaan apabila terpilih menjadi rakan kongsi untuk menerokai penyelidikan membangunkan bidang automotif bertaraf global di samping pasaran yang luas dan berpotensi untuk terus diterokai sepenuhnya.

"UTeM mengambil peluang ini untuk terus menyerlahkan lagi kepakaran penyelidikan automotif ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai serta turut menjana peluang dan ruang kebolehpasaran graduan UTeM yang lebih berprestij dalam bidang automotif," katanya sewaktu majlis pelancaran penyerahan rasmi peralatan projek geran Erasmus di sini.

Projek ini dibiayai menerusi peruntukan geran yang bernilai RM4.9 juta untuk tempoh 36 bulan yang bermula daripada Januari 2019 hingga Januari 2022.

Dalam majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Ghazali Omar dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Profesor Ts. Dr. Noreffendy Tamaldin juga merupakan Ketua Projek Geran Penyelidikan Antarabangsa UTeM United Erasmus.