Skip to main content
Kepakaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diiktiraf apabila sekali lagi terpilih sebagai penganjur bersama Malaysia Technology Expo (MTE) Virtual 2021 yang akan diadakan secara atas talian pada 22 hingga 26 Mac nanti.
 
Berdasarkan kejayaan pada tahun lalu, UTeM sekali lagi menerajui jawatankuasa penjurian anugerah, International Innovation Awards yang mana sinonim dengan fungsi dan kepakaran UTeM sebagai sebuah Institusi Peneraju TVET dan selaras dengan hala tuju serta konsep teknologi di universiti memperkasakan industri dan komuniti atau dikenali sebagai TUNAI.
 
MTE 2021 Virtual pada kali ini terus menyaksikan kumpulan pencipta inovasi dari seluruh dunia mengenengahkan hasil ciptaan produk inovasi mereka yang berimpak global dengan lebih lima ratus penyertaan.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim merangkap Pengerusi bagi kategori Invention and innovation Awards berkata, secara fokusnya UTeM lebih tertumpu kepada aspek penjurian dan anugerah kepada para peserta yang mengambil bahagian kali ini.
 
Jelas beliau, dari aspek anugerah, MTE 2021 Virtual seperti biasa menawarkan pelbagai hadiah menarik yang terdiri daripada rantaian pingat emas, perak dan gangsa serta beberapa anugerah berprestij berupa anugerah khas dari dalam dan luar negara.
 
Katanya, dari segi kategori yang dipertandingkan pula meliputi lapan belas kategori semuanya yang mana antaranya adalah kategori elektrik, teknologi pendidikan dan pedagogi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan banyak lagi. Kategori Pengurusan Krisis merupakan kategori baru yang diwujudkan pada penganjuran kali ini bagi melihat teknologi inovasi yang dilaksanakan dalam aspek pengurusan bencana dan wabak pandemik.
 
“Menyentuh mengenai penjurian pula barisan panel juri adalah dari kalangan tenaga pakar dan profesional dalam bidang ini yang mana separuh dari mereka adalah dari kalangan ahli-ahli akademik dari universiti-universiti ternama dalam negara.
 
“Manakala sebahagiannya pula adalah terdiri daripada pakar-pakar dari agensi dan sektor industri yang berprofil tinggi dan begitu dikenali di peringkat nasional dan rangkaian global,” ujar nya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi kriteria penjurian dan agenda pula telah dibuat perancangan rapi dan tersusun agar pelaksanaanya nanti memenuhi kriteria dan matlamat penganjuran yang telah dihasratkan.
 
MTE 2021 Virtual ini merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan beberapa Kementerian berkaitan.