Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pelopori kaedah baru dalam menjalankan Pilihanraya Kampus (PRK) dengan menggunakan kaedah 'Mobile Undi'.
Naib Canselor UTeM Professor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kaedah 'Mobile Undi' ini digunakan pada PRK UTeM yang diadakan pada hari ini.
Jelasnya, dengan kaedah Mobile Undi ini maka ianya memudahkan seramai 12,419 orang penuntut UTeM yang berada di seluruh negara untuk membuang undi bagi memilih calon ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi kali ini.
Menurut Dr Raha, pelaksanaan kaedah terbaru 'Mobile Undi' ini selari dengan musim pandemik dan para penuntut UTeM majoritinya masih berada di kampung halaman masing-masing namun mereka tetap dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi secara atas talian sahaja menggunakan 'Mobile Undi'.
"Jumlah kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak 34 kerusi merangkumi 25 kerusi fakulti dan 9 kerusi umum.
"Ianya membariskan seramai 50 orang calon yang mana 30 orang calon bagi kerusi fakulti dan 20 orang calon bagi kerusi umum," ujarnya lagi.
Perjalanan PRK UTeM yang bermula dengan kempen dan pengendalian pada hari pilihanraya ini digerakkan oleh sekumpulan pelajar UTeM dikenali sebagai CEC dan dibantu oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PRK UTeM, Ammar Jamaludin, penuntut Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) berkata, perjalanan pilihanraya yang telah bermula pada pagi tadi berjalan dengan lancar.
"Manakala dari segi keputusan rasmi pula dijangka akan diumumkan lewat petang nanti," ujarnya .
Katanya, agak mencabar kepada kami menggalas cabaran ini dalam menggerakan pelajar yang berada di seluruh negara untuk membuang undi namun ianya dapat digerakkan dengan baik menerusi segenap jentera.
Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Pengurusan UTeM yg amat memberikan sokongan dan bantuan sepatutnya melalui PTj-PTj yg terlibat.
Mengulas mengenai perjalanan operasi sebelum ini beliau berkata kesemua calon telah memulakan kempen sejak secara atas talian bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos 2020 tengah malam tadi.
Kumpulan penuntut UTeM yang berada di seluruh negara turut memberikan komen pengalaman baru mereka membuang undi menggunakan kaedah 'Mobile Undi' di musim pandemik ini.
Nuraishah Zainal Abidin penuntut tahun 3 Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang kini berada di Shah Alam, Selangor berkata, dengan kaedah terbaru ini ianya telah merubah corak mengundi di UTeM yang mana pelajar boleh mengundi di mana-mana sahaja tanpa perlu hadir ke fakulti.
Pelajar tahun 2, Mohammad Nor Mustaqim Johari yang kini berada di Durian Tunggal, Melaka, berkata, kaedah PRK kali ini sesuai dengan perubahan teknologi dan selari dengan salah satu Moto TUAH UTeM iaitu Adaptif selari dengan situasi kita sedang mengharungi pandemik lagi.