Barisan pengurusan tertinggi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan kunjungan hormat bagi mengadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu Tun Datuk Seri (Dr.) Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam, semalam.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Academician Tan sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, FASc.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara objektif kunjungan hormat tersebut adalah sebagai kunjungan rasmi pihak universiti ini terhdap Yang di-Pertua Negeri Melaka yang baharu.
Jelasnya, menerusi kunjungan ini juga sebagai medan bagi meneguhkan lagi hubungan baik dan jalinan strategik yang sedia terjalin antara universiti awam teknikal berprestij ini dengan pembesar utama negeri ini.
Menurut Dr Raha, menerusi kunjungan ini pihak UTeM turut memaklumkan perkembangan, kemajuan dan pencapaian semasa yang telah dicapai oleh universiti ini yang terus menyerlah bukan hanya dalam arena pendidikan tinggi malahan penyelidikan dan inovasi terus berimpak langsung di peringkat nasional serta merentasi sempadan global.
“Pihak UTeM turut mengulas berkenaan dengan perancangan dan peranan UTeM dalam keterlibatan bersama menerusi perkongsian kepakaran dalam bidang penyelidikan dan inovasi agar terus mewarnai pembangunan negeri ini.
“Sehingga kini pelbagai agenda telah dijayakan oleh UTeM yang memberi manfaat besar kepada negeri Melaka bagi segenap aspek menerusi perkongsian kepakaran dari universiti ini,” ujarnya lagi.