Seramai 317 orang penuntut UTeM yang telah berjaya melepasi saringan kesihatan dihantar pulang ke Pantai Timur malam tadi.
Penghantaran pulang kumpulan Keempat ke Pantai Timur pada malam ini turut disertai 5 orang penuntut dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) sekaligus menjumlahkan seramai 322 orang semuanya.
Perjalanan kumpulan ini mula bertolak dari Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka sekitar jam 9 malam tadi.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, bagi operasi penghantaran ke Pantai Timur pada kali ini melibatkan 22 buah bas dan 2 buah van yang bergerak ke 3 buah negeri serentak iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Jelas beliau, daripada 22 buah bas tersebut 14 buah bas UTeM manakala selebihnya dibantu oleh rakan universiti awam lain yang turut sama menyediakan bas bagi pergerakan malam ini iaitu 2 buah bas dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), 5 buah bas dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan 1 buah bas dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Katanya, penghantaran pelajar ke negeri Pahang melibatkan kesemua 11 daerah di negeri berkenaan manakala 10 daerah di Kelantan tidak termasuk Lojing.
"Sementara itu penghantaran pelajar ke negeri Terengganu pula melibatkan 7 kawasan iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Besut," ujarnya.
Menyentuh aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), Dr Raha berkata ianya dilaksanakan dengan jayanya oleh semua pihak terbabit termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA terhadap semua bagasi pelajar, bas dan van yang digunakan.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang kita harapkan di samping kita terus mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak yang terlibat," ulasnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan BOMBA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi yang terlibat sama dalam menjayakan operasi ini.
Penghargaan istimewa juga buat rakan universiti awam seperti UMP, UMT dan UMK yang turut sama menyediakan bas bagi pergerakan malam ini lantas senario ini menzahirkan semangat keserakanan yang tinggi dalam kalangan universiti awam di bawah payung Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Terdahulu, pihak UTeM telah melaksanakan 3 operasi penghantaran pulang penunutnya yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1 dan peringkat ketiga pula adalah penghantaran pulang ke Sarawak yang baru sahaja selesai kelmarin.