Mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah menjulang kajuaraan kategori Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV). menerusi IIUM Robotic Competition 2019 (IRC 2019).
Pertandingan ini telah berlangsung di International Cultural Centre (ICC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Gombak, baru-baru ini.
Program anjuran IIUM Robotic Team, IIUM tersebut merupakan sebuah pertandingan antarabangsa yang mengumpulkan belia sekitar rantau Asia Tenggara menggalakkan mereka untuk mengikuti kursus kerjaya menerusi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Pasukan UTeM terdiri daripada tiga orang pelajar tahun 2, Iszuzuldin Amirull Mohd Janudin, Mohammad Nor Mustaqim Johari, Tan Kim Loong, seorang pelajar tahun 3, Aiman Nasiruddin Aminudin dan seorang pelajar tahun 4, Mohammad Nor Mustaza serta penyelia mereka, Muhammad Salihin Saealal dan Ts. Aminurrashid Nordin.
Daripada 5 orang pelajar tersebut empat orang daripada mereka adalah merupakan pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri & Robotik)dengan kepujian manakala seorang pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dengan kepujian.
Muhammad Salihin Saealal berkata, kemenangan yang telah dicapai ini adalah menerusi kategori baru yang dipertandingkan iaitu Kategori Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV)dengan mendahului 6 lagi pasukan yang menyertai kategori ini.
Jelas beliau, persaingan sengit dalam kategori ini termasuklah dari pasukan Indonesia yang telah menjalani 3 pusingan saringan yang mana markah dikira secara kumulatif dengan kemenangan berpihak kepada UTeM yang berjaya ke pusingan akhir dengan beroleh markah kedua tertinggi semasa saringan.
“Perbezaan jurang markah saringan pertama dan kedua adalah sangat besar, yang mana pasukan dari Indonesia sangat mendominasi markah pusingan saringan namun UTeM berjaya mengumpul markah yang terbaik dan menumpaskan pasukan dari Indonesia dengan perbezaan markah sebanyak 3, membolehkan mereka menjadi johan kategori tersebut”, ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, projek yang berjaya menjulang nama UTeM tersebut telah dibangunkan oleh mahasiswa UTeM bersama penyelia semasa cuti semester lalu di mana mereka telah mengambil masa kira-kira dua bulan merekabentuk perkakasan robot bersama dengan perisian bagi menghasilkan robot yang terbaik.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim sukacita dengan berita kemenangan ini sekaligus terus menyerlahkan kreativiti barisan tenaga pengajar dan mahasiswa university di peringkat Asia Tenggara.
Katanya, konsep pembelajaran di UTeM yang berteraskan kompetensi teras kegemilangan antara faktor galakan kepada mereka menyerlahkan ilmu pengajian serta kepakaran yang ada dalam bidang inovasi yang diceburi.
"Semoga mahasiswa UTeM dan barisan pensyarah UTeM terus menyerlah jauh dari yang biasa serta mengharumkan nama UTeM di mata dunia," katanya lagi.