Skip to main content

Sempena dengan sambutan Aidiladha pada kali ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut tidak melepaskan peluang menabur bakti di samping menjalankan ibadah korban merentas sempadan antarabangsa di bumi Kemboja.

Pusat Islam UTeM dengan kerjasama Cambodia - Arabic Student Alumni Association telah mengadakan Program Kembara Persaudaraan Islam UTeM - Kemboja bagi tahun 2019/ 1440 Hijrah buat kali ke-7 bertempat di kawasan perkampungan negara Kemboja, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon dalam ulasan beliau mengenai program tersebut menyatakan bahawa Program Kembara Persaudaraan Islam UTeM - Kemboja antaranya berobjektif menggalakkan kakitangan UTeM yang berkemampuan untuk bersedekah dalam melaksanakan Ibadah Korban.

Jelas beliau, program ini terus mendapat sambutan yang memberangsangkan dari warga UTeM di samping turut mendapat sokongan bank-bank dan agensi swasta dalam urusan tajaan maka program tersebut telah berjaya diteruskan sehingga tahun ke-7 penganjurannya bagi tahun 2019 ini.

Katanya, bagi misi gerakkerja di bumi Kemboja ini telah disertai beberapa orang sukarelawan dari UTeM dalam mengimarahkan Aidiladha di sana dengan pelbagai pengisian program ibadah Korban, aqiqah serta sumbangan wakaf membina perigi bagi kegunaan para penduduk di kampung yang terlibat. 

"Sebanyak dua puluh ekor lembu dan dua belas ekor kambing telah dikorban dan diagihkan kepada penduduk setempat manakala sebanyak lapan puluh dua buah perigi telah diwakafkan kepada penduduk setempat di samping penyerahan pelbagai bantuan kepada sekolah anak yatim, masjid, perkampungan muslim serta sumbangan kepada individu," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim menjelaskan program yang dijalankan ini menzahirkan UTeM turut berperanan bukan hanya di peringkat nasional malahan melepasi sempadan antarabangsa dalam menabur bakti kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, warga UTeM sentiasa sedar dan prihatin dengan perkembangan semasa dan terus menghulurkan bantuan agar nikmat kehidupan ini sama-sama dapat dinikmati bersama.