Skip to main content

Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Pusat Islam UTeM, Persatuan Pegawai Tadbir UTeM (Praktis) dan Koperasi UTeM telah menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada orang asli di Pahang sempena dengan Ramadan dan Aidilfitri sebelum ini.

Menurut Kenyataan dari UTeM, sebanyak tiga ratus kampit beras dan dua ratus paket barangan keperluan asas seperti tepung, minyak masak, gula dan sisi telah sumbangkan kepada penduduk orang asli dari enam buah kampung di Pos Senderut.

Semua barangan sumbangan telah diperolehi dan dikumpul menerusi sumbangan orang ramai yang terdiri dari warga UTeM dan mereka yang perihatin kepada nasib mereka yang lebih memerlukan.

Sumbangan barangan keperluan tersebut telah dikumpul dan dipaketkan mengikut bilangan keluarga dan dibawa oleh para sukarelawan dari kampus induk UTeM Durian Tunggal, Melaka ke perkampungan orang asli tersebut.

Wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli Kuala (JAKOA) Kuala Lipis, Sudirman yang merupakan penduduk orang asli dari Kampung Lubuk Muman berkata, pihak mereka sangat menghargai dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Jelas beliau, penduduk orang asli yang menerima bantuan tersebut sangat bersyukur dengan keperihatinan dan ingatan dari pihak luar mengenai kehidupan mereka di dalam kawasan pendalaman yang sangat memerlukan bantuan sebegini.

Program CSR ini turut mendapat penglibatan dari Multimedia Universiti (MMU) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mana telah menyerahkan sumbangan keperluan kepada penduduk orang asli Pos Senderut, Kuala Lipis Pahang.

Selain daripada sumbangan dari pihak UTeM, pihak UMT turut menyumbang seratus bungkusan keperluan asas yang diperolehi melalui sumbangan warga UMT yang mana urusan pengumpulan dan penghantaran barangan sumbangan UMT tersebut telah diuruskan oleh Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PIJI).