Skip to main content

Pusat Islam, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Kelab Basikal UTeM (XCT’S), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC) telah menganjurkan Program Kayuhan Transformasi Ramadan pada 30 April 2019 lalu.

Penganjuran program ini antaranya berobjektif untuk menyantuni golongan asnaf yang berada di sekeliling dan berhampiran kampus induk UTeM iaitu kawasan perkampungan Durian Tunggal.

Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, program tersebut diadakan adalah untuk menyantuni Asnaf di kariah setempat sekaligus menyalurkan sedikit bantuan kit makanan asas untuk membantu mereka menyambut Ramadan.

Ujarnya lagi, ini merupakan program yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Islam dan Kelab Basikal UTeM XCT’S dengan objektif utama untuk membantu mengurangkan beban orang yang kurang berkemampuan bagi menghadapi bulan Ramadhan di samping memuhasabah diri bagi mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T.

Menurut Penyelaras bersama Program Kayuhan Transformasi Ramadan tersebut, Mohd Khairul Akmal Mohd Noor menyatakan bahawa majlis perasmian dan penyerahan bendera UTeM dan Kelab UTeM XCT’S telah berlangsung di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib.

Menurut beliau, perjalanan sewaktu menyantuni golongan asnaf tersebut adalah menerusi kayuhan basikal yang bermula dari Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM menuju ke lokasi pertama di Taman Murai Jaya, Durian Tunggal diikuti ke kediaman seterusnya yang berada di Kampung Pulau, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Padang Kerbau.

Sebanyak 10 buah rumah asnaf telah berjaya diziarahi dan diberikan sumbangan dan menurut salah seorang penerima bantuan dari Taman Murai Jaya, Abdul Halim Hashim menyatakan bahawa beliau amat bersyukur dengan bantuan diberikan semua pihak, terutamanya seluruh warga UTeM yang prihatin dengan beban hidup masyarakat berhampiran.