Skip to main content

TYT Dr. Makio Miyagawa menyampaikan ucapan sebelum penyerahan pingat.

Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc (kiri) menerima pingat daripada TYT Dr. Makio Miyagawa.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc telah menerima pingat kebesaran daripada Kerajaan Jepun iaitu “The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Dr. Makio Miyagawa.

Anugerah yang disampaikan bertempat di kediaman Duta tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini telah dianugerahkan kepada beliau hasil dari sumbangan Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc dalam menggalakkan kerjasama ekonomi antara Jepun dan Malaysia.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib yang mewakili UTeM mengucapkan tahniah kepada Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc kerana telah berjaya menerima penganugerahan tersebut kerana amat bertepatan di atas sumbangan beliau yang bukan sahaja giat menerajui organisasi seperti Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengerusi Gas Malaysia Sdn. Bhd.

Jelas Dr Shahrin, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM itu jelas turut aktif berperanan besar dalam memajukan sektor pendidikan tinggi Malaysia menerusi sumbangan kepakaran dan pengalaman beliau kepada UTeM begitu juga sebagai Pro Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

"Pengalaman beliau dalam kerjaya menerusi sektor kerajaan dan korporat seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) amat membantu UTeM dalam menyerlahkan nama baik sebagai universiti teknikal terunggul di Malaysia", ujar beliau lagi.

Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc menerima pengiktirafan tersebut menerusi peluang berharga kepada Jepun untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan Malaysia berkenaan bagaimana menambah baik keselamatan tenaga di Malaysia.