Gabungan 2 buah Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan FTK Sport Carnival (FTK SPOC 2019).
2 buah fakulti tersebut adalah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bersama dengan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP).
Karnival sukan ini telah diadakan baru-baru ini bertempat di 3 venue utama iaitu Kompleks Sukan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Kampus Teknologi di Ayer Keroh serta Melaka International Bowling Centre (MIBC).
Dekan FTKEE, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, sebanyak 23 acara sukan telah dipertandingkan dalam karnival sukan yang diadakan selama tiga hari berturut-turut ini.
Antaranya melibatkan acara bola sepak, sepak takraw, badminton, bola tampar, olahraga, memanah, futsal dan boling.
Jelasnya, karnival sukan gabungan 2 fakulti FTKEE dan FTKMP telah melibatkan penyertaan daripada 5 pasukan yang terdiri daripada pelajar dan juga staf fakulti terbabit.
Katanya, antara matlamat penganjuran karnival sukan ini adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan cara hidup sihat di peringkat FTKEE dan FTKMP.
“Di samping itu, ianya telah menjadi medan untuk merapatkan lagi permuafakatan dan silaturrahim di kalangan warga FTKEE, FTKMP dan UTeM amnya,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, uniknya karnival sukan ini turut melibatkan alumni fakulti berkenaan yang mana mereka turut bersama beraksi walaupun telah tamat pengajian di sini.
Pasukan yang menjadi johan telah ditentukan dengan jumlah mata terkumpul yang paling tinggi kerana format pertandingan adalah dibuat secara liga.
Johan keseluruhan FTK SPOC 2019 telah dirangkul oleh Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (JTKEK) dengan pungutan 14 pingat emas, 7 perak dan 9 gangsa bersama dengan piala pusingan.
Sementara itu naib johan pula disandang oleh Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik (JTKE) dengan meraih 10 pingat emas, 12 pingat perak dan 11 pingat gangsa.
Tempat ketiga pula menjadi milik Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (JTKM) dengan membawa pulang 7 pingat emas, 8 pingat perak dan 4 pingat gangsa.