Skip to main content

Bahagian Masjid dan Penerbitan, Pusat Islam, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) dan Jawatankuasa Kolej Kediaman Mahasiswa (JAKSIS) telah menganjurkan Program Tafaqquh Ibrah Al-Quran.

Program ini telah diadakan bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini yang telah dihadiri oleh warga UTeM yang terdiri di kalangan kakitangan dan pelajar.

Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, program tersebut turut bertujuan memupuk jiwa agar lebih menghayati keagungan dan kebesaran Allah melalui kalam suci al-Quran di samping menekankan berkenaan pengajaran yang boleh dicungkil dari Al-Quran melalui tema surah-surah tertentu dengan kaedah merujuk kepada sumber tafsir yang autentik.

Jelasnya, program tersebut telah di rancang semenjak dari tahun 2017 dengan perancangan penganjuran sebanyak 7 siri dengan tajuk-tajuk yang berbeza, di kupas oleh Ustaz Syaari Ab Rahman, penyampai Segmen Refleksi Al-Quran, TV Hijrah dengan siri pertama dan kedua yang telah berlangsung pada 28 Februari dan 28 Mac lalu membawakan tajuk ‘Memahami Kunci Kemuliaan dan Kehinaan Umat’.

"Terdapat lima siri lagi yang bakal berlangsung pada tarikh 25 April, 4 Julai, 26 September, 24 Oktober dan 21 November yang mengambil tempat di lokasi yang sama iaitu di Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM, selepas solat maghrib," ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk. Dr. Shahrin Sahib berharap agar program ini dapat melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia serta mampu berdakwah dalam menyampaikan mesej Allah di dalam kitab suci Al-Quran sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat.

Tambah Dr Shahrin, beliau dimaklumkan oleh pihak penganjur dapatan berdasarkan dari penyertaan dan maklumbalas yang diterima, masyarakat dan mahasiswa khususnya sangat teruja untuk menghadiri program ini kerana pengisian penyampaian berjaya mencuit hati para peserta dan menghayati mesej yang disampaikan dengan jayanya.