Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Program Bicara Minda Sasterawan Negara bersama Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh.
Dalam program tersebut beliau telah berkongsi mengenai cetusan pemikiran beliau mengenai pendekatan pendidikan Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM), Science, Technology, Engineering, Art and Mathematic (STEAM) dan Science, Technology, Reading, Engineering Art and Mathematic (STREAM) dalam sistem pendidikan negara.
Program Bicara Minda Sasterawan Negara tersebut telah berlangsung bertempat di Auditorium Pusat Pengajian Siswazah, Kampus Induk Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, semalam.
Pengarah CAES, UTeM, Prof. Dr. Faaizah Shahbodin berkata, antara fokus menerusi perkongsian tersebut antaranya adalah berkenaan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan bagi menerapkan pendidikan yang berjiwa di peringkat pengajian tinggi.
Ujarnya lagi, penekanan terhadap peranan ahli akademik dalam mendidik dengan penuh luhur jiwa juga dikupas dalam mengukuhkan tekad dan usaha untuk melahirkan graduan yang memahami makna ilmu, utuh jiwanya dan memberi manfaat kepada alam sejagat.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad pula menyatakan bahawa syarahan umum ini juga menepati hasrat Menteri Pendidikan Malaysia mengenai penglibatan para sasterawan negara dalam Program ‘Sasterawan -di- Universiti’ dengan harapan agar mereka dapat memberikan sumbangan yang berterusan dalam dunia akademia menerusi ilmu yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Tambah beliau lagi, program ini juga melengkapkan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membina masyarakat yang mempunyai nilai kemanusiaan, kasih sayang, kebahagiaan dan hormat menghormati seterusnya membentuk peradaban bangsa yang jitu.
Program Bicara Minda Sasterawan Negara tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib bersama dengan pihak pengurusan tertinggi, pegawai kanan universiti serta warga kerja UTeM.