Skip to main content

Sembilan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diiktiraf menerima Persijilan Radio Frequency (RF) and Microwave (MW) Industry-Ready Student pertama di Rantau Asia Pasifik.

Majls pengiktirafan ini telah diadakan di Kampus Induk UTeM, UTeM Durian Tunggal baru-baru ini.

Para pelajar tersebut diberi pengiktirafan sijil kompetensi selepas mereka menamatkan latihan di dalam program Kejuruteraan Gelombang Mikro dan Radio Frekuensi tersebut yang ditawarkan oleh Keysight Technologies.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Industri) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dalam ucapan beliau sewaktu melancarkan program tersebut menyatakan kesyukuran di atas pengiktirafan tersebut yang mana ia menjadikan UTeM sebagai universiti pertama di rantau Asia Pasifik yang diterima menyertai Keysight’s globally-recognized RF/MW Industry-Ready Student Certification program.

Jelas beliau, pengiktirafan tersebut telah meletakkkan UTeM sebaris dengan 40 universiti elit dari seluruh dunia yang telah menyertai program ini termasuklah Cardiff University, the University of Manchester, Columbia University dan Ohio State University.

Katanya, UTeM tekad dalam memperkasakan pendidikan teknikal kepada generasi pewaris negara disamping melahirkan tenaga profesional teknikal yang kompeten melalui hubungan pintar bersama industri.

"Pengiktirafan yang diberikan adalah menerusi penilaian daripada panel industri iaitu dari Keysight Technologies dan Tekmark Sdn Bhd yang mana kedua-dua rakan industri tersebut merupakan rakan strategik UTeM menerusi bidang elektronik seperti wayarles dan bidang Komunikasi 5G," ujar beliau lagi.

Pada program penyerahan sijil ini juga, Keysight Technologies dan Tekmark Sdn Bhd turut mengambil kesempatan dalam menyumbangkan peralatan penyelidikan Power Analyzer Model PA2201A yang bernilai RM 80,000 bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan 5G di UTeM.

Mengulas lanjut beliau berkata, jalinan hubungan kerjasama antara universiti dan industri amat penting demi mencapai visi dan misi UTeM.

 "Sesungguhnya, kolaborasi tersebut merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan yang sangat besar buat UTeM”, ujar Dr. Zulkifili Ibrahim menamatkan ucapan.

Keysight Technologies Inc. adalah sebuah syarikat teknologi terkemuka yang membantu perusahaan, penyedia perkhidmatan dan dalam masa yang sama, amat berdedikasi untuk membantu para penyelidik dan para jurutera generasi akan datang untuk menyelesaikan masalah rekabentuk elektronik dan pelbagai cabaran sukar dalam bidang penyelidikan.