Mahasiswa dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berinisiatif dalam perkongsian ilmu dan kepakaran teknologi maklumat menerusi Bengkel Pangkalan Data Lanjutan.
Bengkel selama dua hari ini merupakan anjuran Kelab Pengurusan Pangkalan Data FTMK UTeM ini diadakan bertempat di Makmal Komputer, Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah baru-baru ini.
Program ini telah melibatkan seramai enam orang fasilitator dari kalangan mahasiswa UTeM yang terdiri dari pelajar semester dua, tahun ketiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data).
Dekan FTMK UTeM Gs. Dr. Othman Mohd berkata, bengkel tersebut merupakan sebuah projek tanggungjawab sosial korporat dari FTMK kepada masyarakat setempat dan para pelajar sekolah bagi membantu dalam penekanan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang diterapkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.
Ujarnya lagi, bengkel yang dianjurkan adalah bertujuan bagi membantu bukan sahaja para pelajar, malahan para guru yang ingin meningkatkan kemahiran menerusi bidang pengaturcaraan dan pangkalan data terutamanya menerusi pengkalan data lanjutan seperti WEBDATABASE, PHP dan SQL.
Bengkel yang dianjurkan ini dijangka akan diteruskan untuk beberapa sesi lagi melibatkan kumpulan pelajar dan guru yang masih belum berkesempatan bagi menyertai bengkel seumpama ini dan ianya juga bakal dijadikan acara tahunan bertujuan membantu para pelajar dan guru sebagai persediaan untuk subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi untuk Sijil Pelajaran Malaysia mereka.
Turut serta dalam membantu dan memantau bengkel tersebut adalah Pensyarah Kanan FTMK, Hidayah Rahmalan yang turut berperanan sebagai penceramah jemputan bagi program tersebut.