Skip to main content

Oleh:

Ts. Dr. Mohd Azli bin Salim

Penyeleras Pusat Kecemerlangan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi

Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal

Ahli Eksekutif, Advanced Materials Characterization Laboratory (AMCHAL)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

 

Cabaran Mahasiswa Lepasan TVET / Universiti Teknikal: Sebelum dan Selepas Bergraduat

Baru-baru ini Malaysia telah mengalami perubahan jentera kepimpinan menerusi proses demokrasi yang diamalkan oleh rakyat negara ini sejak zaman pra  kemerdekaan lagi.

Walaupun kepimpinan negara telah berubah, namun dari aspek agenda pendidikan negara tetap diberikan keutamaan malah terus diperkasakan.  

Salah satu pemerkasaannya adalah dengan memperhebatkan modal insan holistik pada masa hadapan yang mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara telah diberikan mandat dalam merealisasikan impian mulia ini.

Saban tahun dapat dilihat, bilangan kemasukan mahasiswa baru ke IPT-IPT di negara ini telah bertambah.

Selari dengan perkembangan itu maka sudah tentulah menyebabkan bilangan graduan bertambah setiap tahun dan secara logiknya pula peluang pekerjaan di dalam negara semakin berkurang.

Oleh demikian, langkah yang panjang harus difikirkan agar graduan negara ini tidak sahaja boleh berkerjaya di dalam negara, malah mereka turut boleh berkerjaya di luar negara. Tapi adakah graduan negara ini boleh disetarakan dengan graduan luar negara?

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan salah satu agenda penting pendidikan negara ini agar graduan yang bakal dihasilkan kelak bukan sahaja pakar di dalam bidang akademik, malah turut berketerampilan di dalam bidang teknikal.

TVET ini juga telah diiktiraf oleh banyak pemain industri dan pakar TVET tidak kira di dalam dan di luar negara.

Bagi mencapai matlamat agar graduan di negara ini setara dengan graduan di luar negara, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi menterinya, Dr. Maszlee Malik telah mengambil langkah proaktif di mana beliau menjanjikan untuk tempoh lima tahun yang akan datang, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dapat di lonjakkan dan seterusnya dapat membantu meningkatkan nilai tambah yang lebih tinggi dalam pengetahuan intensif setara dengan negara-negara maju masa kini.

Selain itu, isu TVET ini dianggap penting untuk mengisi keperluan negara pada masa hadapan untuk menjadikan negara ini bersaing dengan negara serantau dari aspek pembuatan dan teknologi.

Menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar berkata, untuk memperkasakan TVET ini, ianya memerlukan kerjasama semua pihak tidak kira dari sektor kerajaan dan swasta, malah rakyat Malaysia seharusnya berganding bahu untuk menyokong program TVET dan bersama-sama untuk melakukan transformasi TVET.

Nurul Izzah turut tidak menafikan masih ramai yang menganggap graduan TVET merupakan graduan kelas kedua, namun melalui pemerkasaan TVET ini beliau berharap agar orang ramai dapat mengubah perspektif ini kerana TVET ini bukan hanya diiktiraf di negara ini, malah graduan TVET dianggap setara dengan graduan lain di universiti-universiti di Eropah seperti di Jerman.

Untuk merealisasikan cita-cita ini, sebanyak tujuh kementerian bergabung tenaga dan pemikiran bagi memastikan TVET ini diperkasakan bermulanya pada hari ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, gabungan tujuh kementerian ini dilihat amat baik untuk memperkasakan dan seterusnya melaksanakan TVET agar ianya dapat diseragamkan dari segi pelaksanaannya di samping ianya turut dilihat dapat menjimatkan kos pelaksanaan.

Bagi memberi kesedaran berkaitan TVET, satu forum telah dianjurkan iaitu Forum Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 dengan bertemakan ‘Pelaksanaan Menyeluruh TVET untuk Resolusi Industri 4.0’ yang dianjurkan oleh sebuah universiti di selatan tanah air, Dr. Maszlee berkata, pemerkasaan TVET ini adalah agenda utama pendidikan negara ini dan seterusnya beliau akan memastikan graduan TVET berbangga dengan kepakaran dan kemahiran mereka di mana graduan-graduan ini akan sentiasa mendapat tempat di industri dan graduan TVET juga merupakan graduan kelas pertama.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan salah satu universiti teknikal di negara ini sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan agenda TVET ini dilaksanakan secara berkesan di universiti ini.

Universiti ini secara amnya telah mengambil langkah proaktif di mana menyediakan graduan universiti teknikal sebagai graduan kelas pertama. Oleh itu, pelbagai kaedah dan inisiatif telah dibuat bukan sahaja selepas graduan bergraduat, malah bermulanya pada hari pertama graduan mendaftarkan diri di universiti ini.

Untuk menjadikan pembangunan silibus universiti ini seiring dengan kehendak industri masa kini, pihak universiti telah menjadikan pelbagai pemain industri dari dalam dan luar negara sebagai rakan strategik.

Antara rakan strategik yang aktif adalah PLUS, Petronas, Jabil Circuit, MIMOS, CTRM dan banyak lagi lalu rakan-rakan strategik ini berperanan untuk memberi input kepada universiti berkenaan kehendak industri pada masa kini.

Melalui kaedah rakan strategik ini, ianya dianggap kaedah yang paling sesuai bagi memastikan persediaan graduan universiti mengikut acuan industri dan seiring dengan tema universiti teknikal dan seterusnya graduan yang dihasilkan akan bersifat holistik iaitu tidak hanya mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang, malah mempunyai kemahiran-kemahiran tinggi sesuai dengan agenda pendidikan negara seterusnya mendukung pemerkasaan TVET.