Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Bengkel Semakan dan Pemantapan Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (BENG) dengan Kepujian bertempat di Seremban baru-baru ini .
Bengkel yang diadakan tersebut telah memfokuskan kepada pemantapan kurikulum program BENG dengan cara penilaian semula kesemua silibus program yang ditawarkan dalam jurusan tersebut.
Menurut Dekan FKEKK, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, bengkel ini bertujuan untuk memastikan kandungan setiap kursus teras dan kursus elektif yang ditawarkan FKEKK UTeM adalah relevan dengan kehendak industri semasa dan melandasi Revolusi Industri 4.0 serta Pendidikan 4.0.
Ujar beliau, bengkel semakan tersebut juga merupakan salah satu kriteria wajib yang ditetapkan oleh pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan juga Engineering Accreditation Council Malaysia (EAC) bagi tujuan akreditasi program tersebut.
Bengkel tersebut telah dinilai menerusi 13 orang Panel Penasihat Industri (IAP) yang terdiri di kalangan pakar-pakar berpengalaman luas dari sektor industri yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan elektronik.
Seramai 9 orang IAP dan alumni telah hadir bagi menilai semakan yang dirancang daripada beberapa buah industri terkemuka dunia seperti bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) Telekom Malaysia, Proton Holding, Intel Product (M) Sdn, Bhd, Infineon Technologies Malaysia Sdn Bhd, Sapura Secure Technologies, Favoriot Sdn Bhd, TrackerHero dan UTAC Manufacturing Services Malaysia.
Turut hadir dalam bengkel tersebut adalah wakil alumni, Muhammad Izzat Hanif Ishak yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat yang dibangunkan oleh beliau iaitu TrackerHero di mana kejayaan beliau telah mendapat perhatian dan diterbitkan di media The Edge Markets pada Ogos lalu di samping seorang lagi Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Dr. Mazlan Abas yang merupakan pelopor Internet of Things di Malaysia melalui syarikat beliau yang dikenali sebagai Favoriot.