Skip to main content

Atas inisiatif bagi memberikan penerangan dan menjawab tentang isu semasa yang hangat diperkatakan ramai maka diadakan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari (LGBT) pada 24 Oktober 2018 nanti.

Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari (LGBT) akan diadakan bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar Kampus Induk UTeM Durian Tunggal bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Seminar ini merupakan anjuran Pusat Islam UTeM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jawatankuasa Masjid Sayyidina Abu Bakar UTeM.

Menurut Pengarah Pusat Islam UTeM Dr Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, program ini antaranya adalah bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada peserta berkenaan isu LGBT dari aspek psikososial, agama dan kesihatan.

Katanya, ianya  turut memberikan pendedahan tentang usaha penyantunan yang telah dilaksanakan terhadap golongan LGBT.

“Sementara itu program ini juga turut memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada peserta untuk terlibat dalam usaha bimbingan dan menyantuni golongan LGBT”, ujar beliau lagi.

Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam UTeM merangkap Pengarah Program Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman menyatakan program ini juga sebagai medan kepada kakitangan jabatan atau agensi terlibat serta masyarakat amnya untuk melaksanakan pendekatan Islam dalam menangani penyakit Aids khususnya yang berkaitan gejala LGBT.

Ujar beliau lagi, antara peserta yang akan dijangka sertai program ini antaranya adalah dari kalangan mahasiswa dan kakitangan universiti, guru-guru kaunselor dan guru-guru agama di bawah Jabatan Pendidikan Melaka, fasilitator serta pegawai daripada Jabatan Kesihatan Melaka.

Tambah Asyraf, beberapa intipati bagi pengisian sepanjang program ini telah disusun antaranya adalah 3 slot ceramah yang akan disampaikan oleh wakil daripada pihak JAKIM dan daripada wakil pihak Hospital Besar Melaka.

Mengulas lanjut beliau berkata, sesi perkongsian bersama komuniti hijrah turut akan diadakan sebagai perkongsian ilmu dan pengalaman dengan para peserta yang hadir pada program ini.

Program Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari (LGBT) pada 24 Oktober 2018 ini bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Tuan Adly Zahari pada sesi sebelah paginya.