Skip to main content

Lima orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengharumkan nama UTeM di peringkat kebangsaan apabila memenangi salah satu kategori utama dalam tiga kategori yang dipertandingkan dalam Program Genesis : Buddies Jamboree anjuran Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (IMCC – USM) baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama lima hari tersebut telah disertai oleh lima orang wakil mahasiswa dari universiti-universiti awam Malaysia.

Wakil- wakil tersebut dilantik sebagai Buddies oleh Pusat Antarabangsa universiti masing-masing menerusi persetujuan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa Institusi Pengajian Awam Malaysia (JKPA-IPTA).

Ianya  bertujuan menjadi tempat dan individu rujukan bagi para pelajar antarabangsa untuk menyesuaikan diri mereka kepada budaya dan penduduk tempatan.

Pengarah Pusat Antarabangsa UTeM, Prof. Madya Dr. Md Nizam Abd Rahman  mengucapkan tahniah kepada Buddies UTeM di atas kemenangan mereka menerusi acara utama yang dipertandingkan tersebut.

Tambah beliau lagi, kemenangan yang diterima merupakan perkara yang amat bermakna kerana penglibatan buddies tersebut amat penting bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk turut serta terutamanya kepada semua acara dan program yang melibatkan budaya tempatan.

Lima orang pelajar yang berkampung di USM tersebut adalah terdiri daripada mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Mohd Shah Al-Hafiz Mohd Shahrim, Syafiah Hanani Shamsuddin dan Calvin Shane a/l David dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Nurul Fatihah Rahim, Mahasiswi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Muhammad Syafiq Asyraff Ahmad, Mahasiswa Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Buddies Jamboree  merupakan program kepemimpinan dan rangkaian yang dimulakan oleh IMCC-USM dan melibatkan Pejabat Perhubungan Antarabangsa (IRO) daripada 20 IPTA di seluruh Malaysia.

Ianya juga bermatlamat untuk menyediakan platform bagi buddies yang dilantik untuk mendapatkan pendedahan dan berkongsi pengalaman bertujuan merapatkan jurang antara pelajar tempatan dan antarabangsa dimana Buddies Jamboree bertindak sebagai titik permulaan dalam memupuk sikap kepimpinan dalam aras global.