Skip to main content

Pusat Hubungan Industri, Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan lawatan ke Fasiliti Penyelidikan Center of Excellent, Ceramic Research Company Sdn. Bhd. di Kapar dan Guocera Tile Industry Sdn. Bhd., Meru, Klang baru-baru ini bagi membincangkan kerjasama berkaitan projek penyelidikan.

Lawatan berfokuskan kepada perbincangan kerjasama ini dijangka bakal diadakan pemeteraian Perjanjian Persefahaman bersama syarikat induk Guocera Sdn. Bhd. & Ceramic Research Company Sdn. Bhd. iaitu Hong Leong Manufacturing Group Sdn. Bhd. lalu membuka peluang bersama dalam merancakkan projek penyelidikan, peluang latihan industri dan kebolehpasaran graduan bersama syarikat tersebut.

Menurut Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Prof. Madya Dr. Kok Swee Leong berkata, lawatan beliau ke dua lokasi tersebut telah disambut mesra oleh Pengurus Centre of Excellence, Ceramic Research Company Sdn. Bhd., Datin Lynette Chan bersama dengan pihak pengurusan kanannya.

Ujar beliau, lawatan yang diadakan merupakan hasil daripada perbincangan susulan sewaktu SME Roundtable anjuran UTeM pada Disember 2017 lalu dengan membawa harapan untuk pelaksanaan Memorandum Perjanjian dan Persefahaman yang dijangka dilaksanakan pada Ogos tahun ini.

“Antara kelebihan apabila hubungan strategik dan kerjasama diadakan adalah adalah memudahkan penyediaan tempat latihan industri dan penempatan kerjaya kepada pelajar UTeM di samping kerjasama dalam bidang penyelidikan dan perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang pembuatan yang bukan sahaja berfokuskan kepada pembuatan jubin malah bidang berkaitan juga", kata beliau lagi.

Terdahulu, sebelum ini pihak Hong Leong Manufacturing Group telah hadir melawat makmal di Fakulti Kejurteraan Pembuatan pada 1 Mac 2018 yang lalu di samping pihak Hong Leong Manufacturing Group turut mengadakan sesi temuduga terbuka khas untuk pelajar UTeM.