Skip to main content

Berteraskan komitmen dan inisiatif berterusan maka Pusat Kesihatan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mewujudkan Pusat Kesihatan bergerak sebagai pemudahcara untuk pemeriksaan kesihatan kepada pelajar Diploma sesi 2018/2019 yang baru melapor diri pada minggu lalu.

Pelbagai bentuk perkhidmatan menerusi kenderaan bergerak ini antaranya pemeriksaan kesihatan seperti ujian darah, x-ray dan pemeriksaan kesihatan pakej lengkap bagi mereka yang tidak berkesempatan dalam menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mendaftar di UTeM.

Menurut Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr. Mohamad Fuzi Saidin sewaktu ditemui menyatakan bahawa Pusat Kesihatan UTeM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kesihatan yang lain untuk penyediaan peralatan lengkap sepanjang hari pemeriksaan pelajar baru diadakan tersebut.

Tambah beliau lagi, Pusat Kesihatan UTeM komited untuk membantu para pelajar yang tidak berkesempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di luar yang mungkin disebabkan  kekangan masa ataupun beberapa factor yang tidak dapat dielakkan.

Secara umumnya Pusat Kesihatan UTeM yang dulunya dikenali Klinik Pelajar UTeM telah ditubuhkan pada Jun 2004 bertujuan  untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada para pelajar UTeM dalam memastikan kesihatan mereka sentiasa berada di tahap yang optimum manakala pada tahun 2011 perkhidmatan Klinik Pelajar telah diperluaskan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada kakitangan UTeM juga.

Kini Pusat Kesihatan UTeM dilengkapi dengan empat orang Pegawai Perubatan, seorang Pegawai Pergigian dan beberapa orang paramedik profesional terlatih bagi menguruskan kes-kes yang ringan dan tidak kritikal.

Terdapat 3 premis Pusat Kesihatan UTeM bagi tiga lokasi kampus UTeM iaitu premis utama Pusat Kesihatan UTeM yang berada di Kampus Induk, Durian Tunggal dengan waktu operasi bermula pada jam 8:00 pagi sehingga 10:00 malam, Isnin sehingga Jumaat manakala waktu operasi bagi Pusat Kesihatan UTeM bagi Kampus Teknologi Ayer Keroh pula beroperasi pada setiap hari bekerja dengan pindaan waktu 2:00 petang sehingga 5:00 petang pada hari Isnin dan Rabu manakala untuk hari selebihnya, bermula pada jam 8:00 pagi sehingga jam 5:00 petang.

Sementara itu waktu operasi bagi Pusat Kesihatan Cawangan Kampus Bandar pula adalah hanya pada hari Isnin dan Rabu dengan waktu operasi bermula jam 8:00 pagi sehingga jam 12:30 tengahari dan bagi kes kecemasan, para pelajar boleh terus menuju ke hospital ataupun bagi kes bukan kritikal pula pelajar boleh merujuk terus kepada Klinik Kesihatan Utama di Kampus Induk.