Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini dan buat pertama kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Badan Kebajikan Staf UTeM (BAKUTeM) telah mengadakan Bazar Ramadhan bertempat di Kampus Induk UTeM Durian Tunggal sepanjang bulan puasa ini.
Menurut Pengerusi BAKUTeM merangkap Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (PNCPPF) UTeM Zainal Bidin berkata, antara objektif diadakan Bazar Ramadhan ini adalah untuk menghidupkan suasana kampus bersempena bulan Ramadhan dengan menyediakan kemudahan membeli pelbagai juadah untuk berbuka puasa.
Tambah beliau, program Bazar Ramadhan UTeM ini juga telah membuka peluang kepada kepada golongan pelajar dan juga staf universiti untuk berniaga di bulan ini bagi menambah pendapatan.
Katanya, peluang berniaga sebegini boleh memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar UTeM di samping kemahiran komunikasi yang dipraktikkan dalam urus niaga semasa perniagaan dijalankan.
“Sebanyak 30 gerai telah disediakan dan mendapat sambutan baik daripada pihak penggerai jualan dengan menyediakan pelbagai juadah makanan dan minuman kegemaran ramai”, ujar beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, Bazar Ramadhan UTeM berjalan bermula dari 21 Mei sehingga 13 Jun 2018 lalu memberi kemudahan kepada seluruh warga UTeM yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang berpopulasi lebih daripada sepuluh ribu orang.