
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan mengadakan Majlis Iftar Bersama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob pada 30 Mei 2018 nanti.
Menurut Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, majlis ini merupakan antara pengisian tahunan dalam bulan Ramadhan yang dijadualkan sebagai medan bagi pihak Tun Canselor untuk lebih dekat lagi beramah mesra dengan warga UTeM sempena bulan Ramadhan ini.
Tambah beliau lagi, antara lain objektif utama majlis iftar ini juga bertujuan meningkatkan kefahaman serta penghayatan warga universiti mengenai hikmah dan kelebihan di bulan Ramadan yang mulia ini.
"ia juga bagi memupuk rasa prihatin dan silaturrahim dalam kalangan masyarakat sekeliling selain membudayakan sifat mahmudah dalam diri setiap warga universiti sekaligus merapatkan ukhuwah dalam kalangan warga universiti yang terdiri daripada kalangan kakitangan dan juga belajar", ujar beliau.
Pada majlis tersebut juga, pihak UTeM dijangka bakal menerima sumbangan zakat bernilai RM30,000 dari salah sebuah bank perdangangan yang cukup dikenali ramai bertujuan untuk membantu badan kebajikan pelajar UTeM.
Turut sama dijangka hadir ke majlis iftar berkenaan adalah barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, Pro Canselor UTeM, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti,
Mohd Khalil dijangka akan turut sama menunaikan solat Maghrib berjemaah di samping berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat Isyak, solat sunat tarawih dan solat sunat witir di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM.