Sebagai inisiatif merungkai, menyelami dan berkongsi kepakaran dalam aspek kebudayaan, kemajuan kejuruteraan, sains dan teknologi negara Jepun maka Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama TokushimaU - UTeM Academic Centre (TMAC) dan Pejabat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) telah menganjurkan Program Japan Day.
Program sehari yang berlangsung buat kali pertamanya telah diadakan pada minggu lalu bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal dijalankan antara lain berobjektif untuk meningkatkan lagi hubungan strategik UTeM bersama negara Jepun untuk berterusan dalam meneroka pelbagai peluang kolaborasi terutamanya dalam penyelidikan, akademik dan pertukaran budaya menerusi Dasar Pandang ke Timur.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan perasmian program tersebut menyatakan bahawa UTeM sebagai universiti awam teknikal pertama di Malaysia sentiasa bersemangat dalam pembangunan sains dan teknologi terkini komited dalam meneroka dan melaksanakan teknologi terbaharu bagi proses pengajaran dan pembelajaran di samping dalam penyelidikan dan inovasi.
Tambah beliau lagi, dengan kemunculan dan pengembangan teknologi dari sehari ke sehari, UTeM punyai cita-cita menjadi unik dengan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berorientasikan aplikasi melalui perkongsian pintar universiti dan industri.
“Seperti sedia maklum, pencapaian cemerlang sains dan teknologi Jepun telah lama dikagumi, dan ini merupakan penghormatan kepada UTeM untuk diberi peluang menjadi tuan rumah Hari Jepun 2018 dan berharap bahawa program yang berimpak dan bermanfaat ini akan menjadi pemangkin dalam mengukuhkan strategi untuk menjadi negara yang lebih maju dan progresif”, ujar beliau mengakhiri ucapan beliau.
Pelbagai aktiviti turut diadakan pada Japan Day tersebut seperti temuduga terbuka sebanyak 20 syarikat di Melaka bagi pelajar tahun akhir, demonstrasi dan pertandingan Ikebana, ceramah kesihatan berkaitan produk Yakult, demonstrasi membuat sushi selain ceramah berkaitan corak pembelajaran di Jepun.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Perkhidmatan Maklumat Jepun Etsuko Kuriharamanakala dianggarkan 1500 orang pengunjung dari pelbagai peringkat umur dan bangsa malah turut dihadiri oleh komuniti setempat termasuklah kakitangan UTeM, pelajar-pelajar dari sekolah berdekatan dan juga pelajar dan kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta sekitar negeri Melaka.