Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) telah menganjurkan Program Bersama Kanak-Kanak Kampung Orang Asli Gapam Baru bertempat di Samsung IoT dan Dewan Seminar FTMK.
Program bersama kanak-kanak Kampung Orang Asli Gapam Baru ini merupakan inisiatif bersama UTeM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan melibatkan seramai dua puluh satu orang kanak-kanak berumur antara 10 hingga 17 tahun hadir ke program dengan turut diiringi oleh pegawai JAKOA dan Ketua kampung tersebut.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Zoinol Abidin Abd Aziz, Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), program ini merupakan jambatan penghubung antara UTeM bersama komuniti setempat bagi merintis dan meneraju inisiatif tanggung jawab sosial UTeM.
Tambah beliau, agenda ini juga turut menyerlahkan UTeM dalam menyumbang secara terus terhadap pembangunan pendidikan di negeri Melaka kepada komuniti sekaligus komuniti ini merasai keberadaan UTeM di negeri ini.
Sementara itu Penyelaras Program dari FTMK Nor Hafeizah Hassan berkata, antara lain program ini turut berjaya memberi pendedahan awal kepada mereka tentang pendidikan selepas sekolah.
Katanya, antara pengisian program ialah pengenalan ringkas suasana pembelajaran di Universiti disamping peluang pembelajaran yang ada selain berpeluang melihat dan mencuba sendiri aplikasi IT di Samsung IoT, Kampus Teknologi.
Mengulas lanjut beliau berkata, mereka juga dapat berinteraksi dengan pelajar UTeM menerusi penglibatan Kelab Pelajar FTMK dalam sesi bersama pelajar di Studio Media Interaktif dan Makmal Robotik FTMK.
Program yang mengambil masa selama setengah hari ini berjaya memenuhi objektif serta mendapat maklumbalas positif bukan sahaja dari kanak-kanak orang asli, malahan dari ketua kampung tersebut yang menzahirkan harapan besarnya agar anak-anak dari komuniti berkaitan dapat melanjutkan pengajiannya di UTeM pada masa akan datang.
Turut hadir sama ke program ini ialah Dr. Yogan Jaya Kumar dari FTMK dan Syamsul Iqbal Mohd Akin, Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE, PJIM UTeM.