Skip to main content

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi telah mengharumkan nama UTeM di peringkat antabangsa apabila meraih tempat kedua terpantas dalam pusingan kelayakan dengan catatan masa 10.3 saat bagi jarak 10 meter dalam Singapore Autonomous Underwater Vehicle Challenge 2018 (SAUVC 2018) yang berlangsung bertempat di Singapura.

Kejayaan mereka dalam meraih tempat kedua dalam pusingan kelayakan tersebut telah membawa mereka ke pusingan akhir dan mendapat tempat ke-7 setelah bersaing sengit bersama universiti antarabangsa yang lain seperti National University of Singapore, National Institute of Technology Rourkela India, City University of Hong Kong,  Center for Advanced Studies in Engineering, Pakistan serta banyak lagi.

Menurut Penyelaras Pasukan UTeM, Dr. Mohd Khairi Mohamed Nor menyatakan bahawa UTeM telah menghantar sebanyak dua pasukan AUV yang terdiri daripada 16 orang mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Tteknologi Kejuruteraan (FTK) untuk bertanding di peringkat antarabangsa tersebut.

Tambah beliau lagi, mereka yang terlibat telah membuat persiapan tiga bulan lebih awal dengan menyediakan rekabentuk, fabrikasi di samping menjalankan pelbagai ujian ke atas robot mereka berdasarkan tugasan-tugasan khas yang diberi oleh penganjur.

“Pasukan ini telah menggunapakai bahan dari projek penyelidikan dan projek tahun akhir mereka dan secara amnya, rangka asas AUV tersebut diilhamkan dari AUV sedia ada di pasaran namun mereka mengubahsuai AUV mereka dengan cara tersendiri daripada merangka sehingga ke pemasangan sistem elektrik dan elektronik AUV tersebut di samping pengubahsuaian rekabentuk mekanikal seperti pelampung, penambahan sirip dan mengubah kedudukan truster agar lebih stabil dan sesuai dengan senario bawah air dengan menggunakan bahan-bahan seperti panel komposit, acrylic, plat dan paip pvc kerana sifatnya yang ringan, kukuh dan kalis air”, ujar beliau lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor dalam ulasan beliau menyatakan bahawa dua kumpulan AUV yang bertanding di peringkat antarabangsa telah menyertai Malaysia Autonomous Underwater Vehicle Challenge (MAUVC) pada Disember tahun lalu sebagai persiapan dalam menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa ini.

Katanya lagi, hasil daripada konsep ilmu dan kepakaran yang diperoleh membuatkan mereka mempraktikkan sepenuhnya dalam penghasilan robot ini terutamanya menerusi bidang reka bentuk mekanikal, elektrik, elektronik dan juga perisian komputer.

“Tidak dilupakan juga, tahniah kepada mahasiswa yang terlibat diatas kemenangan yang diterima di peringkat antarabangsa ini dan semoga dengan kejayaan yang diperoleh mampu diteruskan pada masa yang akan datang untuk memupuk semangat berdaya saing, setiakawan dan nasionalisme dalam kalangan mahasiswa UTeM”, ujar beliau mengakhiri temubual.

Program SAUVC yang memasuki tahun ke-5 ini merupakan anjuran Persatuan Kejuruteraan Lautan Singapura, Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik dengan Kerjasama Universiti Kebangsaan Singapura dan Politeknik Singapura yang mana ini merupakan penyertaan kali kedua UTeM dalam cabaran ini.

Cabaran ini telah memfokuskan kepada kenderaan bawah permukaan air autonomi bila mana mahasiswa sendiri merasai cabaran kejuruteraan sistem AUV berdasarkan tugasan yang diberikan dan meluaskan pengetahuan dan mengaplikasikan kemahiran dalam bidang berkaitan kejuruteraan mekanikal, elektrik dan perisian.