Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjung hormat daripada Timbalan Presiden Syarikat XinYi Glass (M) Sdn. Bhd. bersama delegasi dalam rangka kerjasama strategik antara pihak industri dan universiti.
Kunjungan delegasi ini ke UTeM baru-baru ini merupakan lawatan susulan syarikat berkenaan pada awal januari lalu yang mana sebelumnya mereka telah terdahulu menemui Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Goh Ong Sing.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu diminta mengulas menyatakan bahawa lawatan yang diterima bakal membuka peluang terbaru untuk UTeM memperkukuhkan kerjasama strategik bersama rakan industri yang berprestij di peringkat global.
Ujar beliau lagi, lawatan dan kunjung hormat yang diterima lebih berfokus kepada perbincangan mengenai jalinan kerjasama antara UTeM dengan XinYi Malaysia dalam pelbagai aspek antaranya pembangunan pelajar dan kerjasama korporat.
Di samping itu perbincangan turut menyentuh tentang penyelidikan dalam bidang kejuruteraan yang sedang dijalankan di UTeM dan XinYi Malaysia sememangnya berminat untuk merebut peluang keemasan bagi mengadakan penyelidikan secara kerjasama dengan pihak UTeM.
Antara delegasi XinYi Malaysia yang terlibat adalah terdiri daripada Timbalan Presiden XinYi Sonar (HK) Co. Ltd yang turut merupakan Pengarah Urusan XinYi Malaysia, Datuk Liu Xiaorong, Pengarah Kewangan XinYi Malaysia, Datuk Sin Ket Hin dan Pengarah Hubungan Awam, Abd. Halim Sairi.
Turut hadir dalam majlis ini adalah pihak pengurusan tertinggi UTeM yang terdiri daripada Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Goh Ong Sing, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Madya Ir. Dr. Md Nazri Othman, Penyelaras Pusat Kecemerlangan UTeM, Prof. Madya Dr. Gan Chin Kim, Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti & I-CoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Zainol Abidin Abd. Aziz, Pengarah Pusat Pengurusan Alumni & Kebolehpasaran Graduan, Prof. Madya Norhaziah Md. Salleh, Pengarah Pusat Hubungan Industri, Prof. Madya Dr. Kok Swee Leong dan Timbalan Pengarah, Pejabat Antarabangsa, Dr. Liew Pay Jun.