Skip to main content

(Article in Bahasa Melayu)


Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima lawatan daripada syarikat multinasional ternama dunia Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Konica Minolta) bagi menentukan hala tuju kerjasama berimpak antara UTeM dan syarikat ini.


Lawatan yang diterima ini juga merupakan lawatan balas daripada pihak Konica Minolta setelah pihak mereka yang berpengkalan di ibu pejabat di Jepun menerima lawatan dari Lembaga Pengarah UTeM sewaktu mengadakan lawatan ke Jepun pada penghujung 2017 yang lalu.


Menurut Naib canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu diminta mengulas menyatakan bahawa lawatan yang diterimatelah membuka peluang terbaru untuk UTeM memperkukuhkan kerjasama strategik merentasi dunia bersama industri yang berprestij di peringkat global.


Tambah beliau, pihak UTeM dan Konica Minolta turut membincangkan mengenai penyelidikan dalam bidang kejuruteraan yang sedang dijalankan di UTeM dan Konica Minolta sememangnya berminat untuk merebut peluang keemasan bagi mengadakan penyelidikan secara kerjasama dengan pihak UTeM.


"Kerjasama penyelidikan bersama ini juga berfokus kepada konsep kejuruteraan masa hadapan yang berteraskan kepada revolusi industri 4.0 yang terus mendapat tempat dan memberi impak kepada peradaban dunia", ujar beliau lagi.


Delegasi lawatan telah dibawa melawat ke makmal FTK bagi melihat sendiri pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran terutamanya makmal-makmal serta kelengkapan yang disediakan oleh UTeM bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).


Seramai 10 orang wakil dari Konica Minolta Malaysia Jepun telah hadir sama dalam lawatan ini diketuai oleh Hideyuki Yoshida selaku Pengarah Urusan Konica Minolta Jepun manakala Konica Minolta Malaysia telah diwakili oleh Pengurus Pembuatan Digital, Mohd Mohsein Ridzuan.


Turut hadir dalam majlis ini adalah pihak pengurusan tertinggi UTeM yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof Datuk Ir Dr Mohd Jailani Mohd Nor, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM Prof Dr Goh Ong Sim, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM Isa Md Dom, Bendahari Kharul Taib, Penasihat Undang-undang Datuk Azhar Mohamed, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori Fazidah Ithnin.