Para pelajar dari Indonesia berpeluang mengikuti program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan hanya mengikuti pengajian di sana bertempat di Universiti Muhammadiyah Magelang (UMM) Indonesia.
Agenda itu merupakan sebahagian intipati dalam pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan UMM yang telah ditandatangani semalam di Pejabat Naib Canselor Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal semalam.
Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk (Ts) Dr Shahrin Sahib, berkata antara objektif pemetraian MoU antara kedua-dua buah universiti dari kepulauan Nusantara ini adalah untuk membuka peluang kepada pelajar di Indonesia yang berhasrat mengikuti program pengajian ditawarkan oleh UTeM dengan menjalankan perkuliahan di UMM dan dikelolakan oleh Pusat Pengajian Sepanjang Hayat (PPSH) UTeM.
Tambah beliau, melalui MoU turut memberi ruang kepada UTeM untuk mengadakan program kerjasama dengan menawarkan program separa masa Sarjana Muda, Sarjana dan PhD serta kursus-kursus jangka masa pendek kepada pelajar dan staf UMM.
“Selain itu, staf kedua-dua universiti berpeluang meraih kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan dengan penganjuran bengkel, seminar serta persidangan yang mana ini adalah antara inisiatif untuk meningkatkan dan memperluaskan program komuniti universiti dengan lebih produktif lagi”, ujar beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM dan UMM juga berhasrat untuk merancang dan membangunkan inovasi dalam penyelidikan melalui geran penyelidikan bersama dan latihan khusus bagi memperhebatkan suntikan inovasi di rantau ini.