Skip to main content
UTeM Perkasa Hala Tuju Bidang Teknologi Kejuruteraan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Perancangan dan Pembangunan Akademik (PPPA) UTeM terus mengorak langkah dalam memperkasakan hala tuju dalam bidang teknologi kejuruteraan di Malaysia dengan perbincangan dan bengkel untuk membentangkan dapatan kajian di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kelak.

Bengkel yang telah diadakan baru-baru ini turut bertujuan dalam mengkaji isu-isu dan merangka pelan tindakan berkaitan isu tatanama program, isu identiti teknologi kejuruteraan, isu artikulasi , isu badan professional, kategori bidang utama dan pengkhususan.

Perbincangan juga turut menyentuh kepada pengenalpastian jurang permintaan disamping penawaran pelbagai bidang teknologi kejuruteraan yang patut ditawarkan berdasarkan perkembangan terkini tempatan dan global di samping membangunkan Hala Tuju Bidang Teknologi Kejuruteraan (2017 – 2025) dan turut mencadangkan polisi yang berkaitan dengan bidang teknologi kejuruteraan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad, berkata bidang teknologi kejuruteraan merupakan tunjang kepada perkembangan ekonomi negara yang mana ianya merupakan sebahagian daripada bidang higher TVET dan menyokong 12 sektor National Key Economic Area (NKEA) dan perkembangan Industri 4.0.

Tambah beliau, pemerkasaan yang dijalankan ini merupakan langkah pertama dan dijangka akan disusuli dengan beberapa bengkel susulan bagi membantu Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik di Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT untuk menjalankan fungsi utama mereka dalam menyelaras dan melaksanakan keputusan-keputusan dasar program akademik berkaitan bidang teknologi kejuruteraan berjalan dengan lebih efisyen dan efektif.

"Di samping itu hasil yang diperolehi dari perbincangan tersebut turut dijangka akan membantu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk merancang dan membangunkan program baru yang berkaitan bidang teknologi kejuruteraan dalam mempercepatkan perkembangan disiplin ini dalam negara kita", ujar beliau lagi..

Bengkel yang diadakan selama tiga hari tersebut telah mengumpulkan 11 orang pakar dari bidang teknologi Kejuruteraan yang terdiri daripada Dekan dan ahli akademik dari Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu UTeM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga dari Malaysia Society for Engineering and Technology (MySET).